Pekasam merupakan hidangan yang sering menjadi pilihan untuk membuka selera.
Ia digemari oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Terutamanya semasa bulan Ramadan, hidangan masam dan masin ini dapat meningkatkan semangat ketika berbuka dan bersahur.
Rasanya menjadi lebih sedap apabila dimakan bersama nasi panas.
Walaupun ramai yang sudah tahu tentang kesedapan ikan sungai yang direndam dengan garam dan dibakar tanpa minyak, namun keunikan pekasam ikan sultan bukan hanya pada namanya, tetapi juga pada cara pembuatannya.
Ia cukup popular di Sarawak kerana menggunakan ikan sultan atau yang lebih dikenali sebagai ikan jelawat, dan juga disukai oleh golongan bukan Muslim.
Masyarakat Iban biasanya menyebutnya sebagai ‘kasam’, tetapi ada juga yang memanggilnya ‘lisem’ atau ‘jaruk’.
Bagi Jelumie Banyi, resepi pekasam yang dipeliharanya sangat menekankan kepentingan proses pembuatan yang teratur.
Dan hasilnya mendapat tempat istimewa di hati masyarakat Melayu.
“Asalnya saya belajar membuat ikan pekasam dengan ibu mentua menggunakan ikan lain. Tapi saya olah sendiri menggunakan ikan sultan kerana isinya yang sedap.
“Pekasam menggunakan ikan ini memang idea sendiri. Cara buat pun saya olah untuk pastikan rasanya sedap dan tahan lama,” ujarnya tentang jualan pekasamnya yang mendapat sambutan luar biasa sepanjang Ramadan.
Seorang guru yang berumur 56 tahun itu murah hati untuk berkongsi tips dan cara membuat pekasam.
Beliau menasihati agar kita perlu membersihkan ikan dengan teliti dan mengeringkannya sebaik mungkin agar tidak berbau dan tidak berlendir.
“Cara membuatnya mudah sahaja. Siang ikan seperti biasa. Kalau ikut cara saya, sisik ikan tidak dibuang sebab nanti bila digoreng atau dikukus, ikan tidak hancur.
“Ikan kemudian dipotong menggunakan pisau yang tajam dan cuci sehingga bersih. Tos kena betul-betul kering dan ambil masa juga,” tuturnya kepada SinarPlus baru-baru ini.
Sama seperti resipi lain, ibu kepada empat anak itu juga menggunakan beras yang digoreng tanpa minyak sehingga warnanya bertukar menjadi keperangan kekuningan.
“Biarkan beras sejuk dan barulah boleh ditumbuk atau dikisar kasar. Jangan tumbuk halus sangat, kena nampak biji beras. Kemudian beras digaul dengan garam kasar bersama ikan sehingga garam hancur.
“Apa yang saya buat, pekasam itu kena gaul semula sekali sehari supaya garam bercampur rata. Perap di dalam bekas yang dipadatkan. Apabila sudah jadi pekasam, barulah boleh disimpan di dalam peti sejuk,” ceritanya.
Menurut Jelumie, pekasam yang disimpan selama lima hari sudah siap untuk dimasak dan dinikmati bersama nasi putih saja.
Rasanya begitu sedap sehingga disebut sebagai ‘hingga tidak perasan mentua lalu’.
“Nak buat pekasam ini taklah terlalu susah, cuma kena pastikan ikan digunakan betul-betul tidak berbau dan tahan lama. Garam pun kena pastikan cukup untuk proses perapan.
“Saya akan simpan dulu di tempat kering dalam suhu bilik sehingga betul-betul jadi pekasam sebelum ia disimpan di dalam peti sejuk.
Mungkin dengan cara itu membuatkan ia lebih sedap sehingga pelanggan tertarik dan ulang membeli,” katanya.
Resipi pekasam goreng cili padi
Bahan-bahannya:
- Ikan sultan
- Bawang Belanda
- Cili padi
- Minyak masak
- Limau kasturi
Cara-caranya:
1. Bersihkan bawang Belanda dan cili padi.
2. Potong halus-halus.
3. Goreng bawang dan cili padi sehingga layu.
4. Masukkan ikan ke dalam kuali dan masak sehingga empuk.
5. Hidangkan dengan perahan limau kasturi jika ingin rasa lebih masam.
Semoga bermanfaat!
Baca:
Lautan manusia kerumun TRX demi David Beckham, disambut dengan sorakan meriah
‘Patut letaklah sirap, susu, kacang, cendol’ – Sanggup makan salji demi content
Bahaya terlalu bergantung kepada GPS, pemandu ‘sangkut’ atas jambatan