ONSA dikuatkuasakan, MCMC pertingkat keselamatan internet untuk kanak-kanak dan keluarga

Oleh SHAZLIN AZIZ

CYBERJAYA, 1 Jan — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act 2025 – ONSA), yang bertujuan memperkukuh keselamatan ekosistem digital negara serta melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

Menurut MCMC, ONSA menyediakan kerangka perundangan yang jelas dengan menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, perlindungan khusus terhadap kanak-kanak serta penyediaan mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

Akta tersebut terpakai kepada semua pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) atau Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Bagaimanapun, MCMC menegaskan bahawa ONSA tidak terpakai kepada pengguna individu.

Dalam perkembangan berkaitan, MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A AKM 1998 berkuat kuasa mulai hari ini.

Susulan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada dan diwajibkan mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.

“Mekanisme ini memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat bagi menyesuaikan penguatkuasaan undang-undang dengan perkembangan pesat ekosistem digital negara.

MCMC turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

Maklumat lanjut mengenai ONSA boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi MCMC.