Dalam situasi memandu, kadang-kadang perkara yang tidak dijangka boleh berlaku.
Contohnya, objek seperti kanvas atau kain rentang boleh melayang dan menutupi cermin hadapan kereta, menyebabkan pandangan terhalang.
Apabila menghadapi situasi seperti ini, kebanyakan pemandu mungkin akan panik dan menekan brek secara tiba-tiba.
Ini boleh menyebabkan kenderaan di belakang tidak sempat menekan brek dan melanggar kereta kita.
Jadi, apa yang perlu dilakukan jika pandangan terhalang akibat objek seperti ini? James Alatin, yang sering berkongsi tip mengenai pemanduan, memberikan panduannya.
“Bila menghadapi kejadian sebegini, ramai pemandu akan panik dan terus menekan brek secara tiba-tiba, sehingga menyebabkan kenderaan dari belakang tidak sempat brek dan melanggar belakang kereta.
Selain itu, pemandu mungkin akan memusingkan stereng ke kiri dan kanan. Cara ini adalah salah dan berbahaya,” jelas James sambil memberikan nasihat.
Menurutnya, jika menghadapi situasi seperti ini, pemandu sebaiknya jangan panik dan lakukan langkah-langkah berikut:
1. Terus tekan butang lampu kecemasan.
2. Kemudian lihat keadaan di belakang melalui cermin pandang belakang. Selepas itu lihat kiri dan kanan kereta melalui cermin sisi sama ada terdapat kereta yang rapat atau tidak.
3. Jika tiada kenderaan yang rapat, perlahankan kereta dan bawa kereta ke kiri kemudian berhenti di tempat yang selamat.
Perkongsian James ini turut menarik perhatian netizen, yang memberikan beberapa cadangan untuk menangani situasi objek yang menghalang pandangan.
Antaranya, mereka mencadangkan penggunaan wiper untuk mengalihkan objek tersebut. Jika ada penumpang di sebelah, mereka juga boleh diminta untuk membantu menarik objek itu dari tingkap kereta.
Selain itu, ada juga yang berkongsi pengalaman mereka berhadapan dengan situasi serupa.
“Saya pernah mengalami perkara ini, dan apa yang dikatakan adalah benar.
Pastikan kenderaan kita tidak bergerak ke kiri atau ke kanan secara tiba-tiba.
Biasanya, kereta di belakang boleh melihat apa yang berlaku di depan dan akan memberi ruang jika pemandu kekal fokus,” kongsi seorang netizen yang dikenali sebagai Stuka.
BACA: 60 tahun tak pernah cuci bekas sos, ini resepi rahsia restoran Jepun buat ramai yang datang