Nissan buang 20000 pekerja dan bakal tutup kilang. Satu demi satu ujian melanda gergasi automotif Jepun, Nissan Motor Co. Syarikat yang suatu ketika dahulu gah di pentas dunia kini sedang melalui detik sukar yang paling mencabar dalam sejarahnya.
Terkini, Nissan dilaporkan bakal memberhentikan sekitar 20,000 pekerja di seluruh dunia – satu angka mengejutkan dan lebih dua kali ganda daripada jumlah yang diumumkan pada November tahun lalu.
Langkah besar ini adalah sebahagian daripada usaha penstrukturan semula berskala besar dalam usaha menyelamatkan syarikat daripada terus karam dalam gelombang kemerosotan jualan dan tekanan ekonomi global.
15% Tenaga Kerja Terlibat, Kilang di Jepun Bakal Ditutup?
Menurut laporan agensi berita Kyodo, pemberhentian ini bakal melibatkan kira-kira 15% daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja Nissan. Malah, terdapat juga cadangan untuk menutup salah satu daripada lima kilang pemasangan kenderaan di Jepun – satu langkah yang sudah pasti akan mencetuskan tentangan hebat daripada kesatuan pekerja dan pihak berkepentingan.
Apa yang lebih merisaukan, ini bukan pertama kali Nissan mengumumkan langkah pengurangan besar-besaran. Pada November 2023, syarikat itu telah menyatakan hasrat untuk mengurangkan 9,000 pekerjaan dan memotong kapasiti pengeluaran global sebanyak 20% menjelang 2026.
Kilang di Thailand Ditutup, Dua Lagi Dalam Senarai
Tidak cukup dengan itu, pada Februari lalu, Nissan juga mengumumkan penutupan sebuah kilang di Thailand, manakala dua lagi kilang bakal ditutup – namun lokasi sebenar masih belum didedahkan.
Langkah drastik ini dilakukan seiring dengan penyusunan semula strategi pelaburan syarikat di bawah CEO baharu, Ivan Espinosa, yang mula memegang jawatan pada 1 April 2025. Beliau kini berdepan cabaran getir dalam memulihkan semula jenama Nissan di pasaran dunia.
Tekanan Global & Kerugian Berbilion Yen
Apa yang memburukkan keadaan, Nissan turut terkesan dengan kenaikan tarif automotif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat – satu faktor luaran yang memberi tekanan berganda kepada pengeluar kenderaan global.
Akibat penstrukturan semula yang mahal, Nissan menjangkakan kerugian bersih antara 700 hingga 750 bilion yen (sekitar RM21.5 bilion hingga RM23 bilion) untuk tahun fiskal 2024 – menjadikannya kerugian tahunan terbesar dalam sejarah syarikat.
BACA JUGA :
Kereta comel EV Nissan terbaru hanya boleh pandu 180km, tetap laku keras, 50k unit dah terjual
Pemandu Navara dipenjara 30 hari dan didenda RM12000
Tular gambar model sedan baharu Produa, dah macam kereta perdana versi ‘lowered’