KUALA LUMPUR, 25 Julai 2025 – Enam badan bukan kerajaan (NGO) tampil menyatakan mereka tidak akan menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung esok, dan memberi amaran bahawa cubaan menjatuhkan kerajaan di tengah penggal boleh merosakkan usaha reformasi institusi negara.
Dalam satu kenyataan bersama, Bersih, C4 Center, IDEAS, Projek Sama, Pusat Komas dan Transparency International Malaysia menolak sebarang usaha yang menyerupai Langkah Sheraton seperti yang berlaku pada tahun 2020 – di mana kerajaan bertukar secara mengejut melalui pintu belakang.
“Reformasi institusi akan terbunuh sekiranya politik negara tidak stabil.
Disebabkan tiada pihak yang sentiasa menang, reformasi institusi menguntungkan semua parti dalam persaingan jangka panjang dan seharusnya didukung oleh semua parti,” kata mereka.
Menurut gabungan NGO ini, tumpuan mereka kini adalah untuk memperjuangkan reformasi institusi, supaya wujud padang permainan yang adil kepada semua parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti — bukannya menjatuhkan kerajaan secara mengejut sebelum tamat penggal.
“Atas dasar ini, kami menolak perubahan kerajaan pada pertengahan penggal melalui pintu belakang seperti Langkah Sheraton yang mengucar-ngacirkan politik negara di tengah-tengah pandemik Covid-19,” tegas mereka.
Kenyataan ini dibuat selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mendakwa dalam satu sidang media di Parlimen bahawa NGO seperti Bersih, C4 dan Transparency International telah bertemu dengan pihak pembangkang dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.
Namun, gabungan NGO itu menjelaskan bahawa pertemuan tersebut tidak ada kaitan dengan himpunan dan hanya bertujuan untuk memberi cadangan reformasi kepada pihak pembangkang, termasuk Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.
“Hanyalah apabila semua pihak berlumba-lumba untuk menawarkan reformasi, baru reformasi mungkin dipacu dan dipandu dengan berkesan,” kata mereka lagi.
Mereka juga mengingatkan bahawa menjatuhkan kerajaan tidak semestinya membawa kebaikan, kerana tiada jaminan bahawa kerajaan baru akan lebih baik atau komited terhadap reformasi.
“Pertukaran kerajaan tidak menjamin kerajaan seterusnya akan memberi komitmen yang jelas untuk melakukan reformasi institusi, atau terlalu rapuh untuk melakukan sebarang perubahan yang bermakna.”
Akhir sekali, NGO-NGO ini menyeru agar semua pihak – kerajaan dan pembangkang – mengangkat agenda reformasi tulen, dan tidak menggunakan jalan belakang untuk berkuasa.
“Kami sekali lagi menegaskan bahawa semua pihak, terutama kerajaan dan pembangkang perlu mengangkat agenda reformasi yang tulen.”