Realtime website trackingweb stats

NGO serah memo kepada Agong desak Muhyiddin letak jawatan

Oleh ADINDA

Hari ini, sebuah lagi gabungan gerakan rakyat menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan. Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) mendesak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin dan kabinetnya untuk berundur secara terhormat sebelum 16 Julai.

Mustafa Mansor, penyelaras GBMRM, mengatakan hari ini kerajaan dilihat semakin gagal mengawal pandemik Covid-19 dan kes positif terus kekal tinggi sehingga rekod terbaru direkodkan semalam. Menurutnya, sekiranya Perikatan Nasional terus diberi peluang, saya khuatir lebih ramai orang yang akan mati akibat wabak ini.

“Rakyat sudah bagi masa yang cukup panjang kepada kerajaan Muhyiddin. Semalam pun dah 11,000 kes dan kita lihat kematian bertambah begitu juga kadar bunuh diri yang sudah tidak terkawal.

“Sudah sampai masanya kerajaan yang tiada keabsahan ini untuk berundur secara terhormat, bukan lagi diminta parti politik tetapi badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat biasa,” katanya.

Beliau memberitahu media selepas menyerahkan memorandum rakyat Malaysia kepada wakil istana di luar Pintu 3 Istana Negara pada hari Rabu. Mustafa selanjutnya berkata bahawa sudah waktunya bagi kerajaan PN untuk memberi jalan kepada yang memiliki majoriti kerusi di parlimen untuk membentuk kerajaan baru. Beliau menjelaskan ini kerana kerajaan tidak lagi memegang majoriti kerusi setelah Umno menarik sokongannya pada Khamis lalu.

Oleh itu, beliau memohon Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap kehendak memorandum tersebut.

Pada masa yang sama, beliau meminta rakyat Malaysia mengibarkan bendera putih dan memakai baju serba putih sekiranya tiada perubahan atau keputusan daripada kerajaan. Tegasnya, ini adalah solidariti bersama semua yang kehilangan nyawa akibat wabak Covid-19.

“Saya menyeru seluruh rakyat negara ini, jika tiada perubahan sehingga Jumaat, kita bersama-sama di rumah masing-masing mengangkat bendera putih dan pakai baju serba putih sebagai tanda solidariti,” katanya.