Nak lancar satelit tinjau matahari pula, rupanya ini rahsia India kuasai program angkasa lepas bajet ‘rahmah’.
Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) memaklumkan bakal melancarkan satelit untuk meninjau matahari, hanya beberapa hari selepas menjadi negara pertama mendaratkan kapal berhampiran kutub selatan bulan.
ISRO menerusi kenyataan di laman sosial X berkata, pelancaran Aditya-L1, balai cerap India berasaskan angkasa pertama yang mengkaji matahari dijadualkan berlepas pada 2 September ini.
Aditya-L1 yang bermaksud matahari dalam bahasa Hindi, akan dilancarkan dari pelabuhan angkasa utama negara di Sriharikota menggunakan kenderaan pelancar satelit polar (PSLV).
Kapal itu akan mengembara ke orbit lingkaran cahaya di kawasan angkasa kira-kira 1.5 juta kilometer (km) dari bumi, sekali gus memberikan sudut pandangan jelas yang berterusan kepada matahari.
“Aditya-L1 akan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk pergi ke tempat pemerhatiannya.
“Usaha ini akan memberikan kelebihan yang sangat besar untuk memerhati aktiviti suria dan kesannya terhadap cuaca angkasa dalam masa nyata,” kata ISRO.
Kapal angkasa itu akan membawa tujuh muatan untuk memerhati lapisan paling di luar matahari dikenali sebagai ‘photosphere’ dan ‘chromosphere’ menggunakan pengesan medan elektromagnet dan zarah.
Antara beberapa objektif penerokaan itu termasuk mengkaji pemacu terhadap cuaca angkasa selain memahami dinamik angin suria dengan lebih mendalam.
Aditya-L1 juga akan menyiasat tentang angin solar yang boleh menyebabkan gangguan di bumi dan biasanya dilihat sebagai aurora.
NASA dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) sebelum ini sudah menempatkan kapal angksa pengorbit untuk mengkaji matahari, namun ia akan menjadi misi pertama seumpamanya bagi India.
Kapal angkasa tanpa pemandu Chandrayaan-3 yang bermaksud kenderaan bulan dalam bahasa Sanskrit mendarat di permukaan bulan pada minggu lalu.
Kejayaan itu menjadikan India sebagai negara keempat selepas Amerika Syarikat (AS), Russia dan China yang berjaya mendarat di bulan.
PROGRAM ‘BAJET’
Usaha berkenaan juga menandakan pencapaian terbaharu dalam program angkasa lepas India yang bercita-cita tinggi tetapi berbajet rendah dan diraikan dengan meriah di seluruh negara paling ramai penduduk di dunia itu.
India terkenal dengan program angkasa yang berbajet rendah tetapi mampu berkembang dengan ketara dari segi saiz dan momentum sejak pertama kali menghantar misi ke orbit bulan pada 2008.
Pakar berkata, India boleh mengekalkan kos rendah kerana menyalin dan menyesuaikan teknologi sedia ada dengan ramai jurutera berkemahiran tinggi yang hanya memperoleh sebahagian kecil daripada jumlah gaji rakan sejawatan di negara asing.
Pada 2014, India menjadi negara Asia pertama yang meletakkan pesawat ke orbit mengelilingi Marikh dan dijadualkan melancarkan misi kru tiga hari ke orbit bumi menjelang tahun depan.
India juga merancang misi bersama dengan Jepun untuk menghantar satu lagi kapal ke bulan menjelang 2025 dan misi orbit ke Zuhrah dalam tempoh dua tahun akan datang.