Baru saja membuat biskut, tetapi apabila dimakan, ia terasa lemau.
Masalah ini kadang-kadang boleh merosakkan mood, tetapi sebenarnya ada cara untuk mengembalikan kerewangannya semula.
Biskut adalah snek yang digemari ramai, tidak kira peringkat umur, terutama kanak-kanak yang suka menikmatinya pada waktu lapang.
Lebih nikmat lagi jika dicicah dengan air teh, pasti memuaskan!
Antara masalah yang sering dihadapi berkaitan biskut adalah rasa lemau apabila dimakan.
Biskut yang sudah masuk angin ini seringkali hilang rasa dan kesedapannya.
Kadang-kadang kita tidak sedar biskut tertinggal lama di luar atau bekas penyimpanannya tidak kedap udara dengan sempurna. Oleh itu, adalah penting untuk menyimpan biskut dengan betul.
Jika sudah terlanjur menghadapi masalah ini, berikut adalah beberapa cara untuk mengembalikan kerangupan biskut lemau anda. Jom lihat caranya!
CARA RANGUPKAN BISKUT LEMAU
1. Air Fryer
Jika anda mempunyai air fryer di rumah, ini cara yang paling mudah. Cuma masukkan biskut lemau ke dalam air fryer, kemudian panaskan selama 3 minit pada suhu 180ºC.
2. Microwave
Tiada air fryer? Anda boleh gunakan microwave. Panaskan biskut lemau pada suhu tinggi selama 40 saat sahaja untuk mendapatkan semula kerangupannya.
3. Oven
Jika tiada air fryer atau microwave, gunakan oven. Letakkan biskut lemau di atas dulang pembakar dan panaskan pada suhu 150ºC selama 5 minit.
4. Periuk Nasi
Bagaimana jika tiada semua peralatan elektrik di rumah? Jangan risau, anda masih boleh menggunakan periuk nasi. Masukkan biskut lemau ke dalam periuk nasi dan biarkan dalam mode keep warm selama 40 minit. Jika biskut masih belum rangup, tambah lagi masa pemanasan.
5. Sangai atas Dapur
Sebagai alternatif terakhir, jika tiada peralatan elektrik yang disebutkan di atas, anda boleh sangai biskut di atas dapur.
Letakkan biskut lemau dalam kuali non-stick dan sangai dengan api perlahan.
Kesimpulannya, jangan terus membuang biskut yang sudah lemau kerana dengan menggunakan salah satu cara di atas, anda boleh mengembalikan kerangupannya semula!
BACA: Lebuhraya Gombak Bentong dinaiktaraf 3 lorong, tambah terowong baharu