Sumbangan pendakwah bebas, Ebit Lew yang dibeli di Cairo, Mesir telah berjaya memasuki Gaza, Palestin pada hari raya pertama aidiladha.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di laman Telegram miliknya semalam.
Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, barangan tersebut tiba bersama-sama dengan 300 tan bantuan lain sekaligus menjawab persoalan mengenai barang-barang bantuan dari Ebit Lew yang sebelum ini dikatakan telah disekat dari memasuki Gaza.
“Ada kawan kongsikan post (kemas kini) yang sumbangan Ebit Lew yang dibeli di Cairo telah masuk pada hari raya pertama bersama 300 tan bantuan lain.
“Alhamdulillah dan tahniah. Ini yang kita mahukan, maklumat tentang bantuan yang disampaikan. Buat apa nak dengki dan iri hati sebab bantuan ini akan sampai kepada jiran saya, malah mungkin kaum kerabat saya sendiri di sini,” katanya.