Sejak beberapa hari yang lalu, telah timbul gerakan yang diberi nama Blockout2024 untuk memboikot selebriti yang masih bekerjasama dengan produk yang menyokong tindakan kekejaman Zionis di tanah Palestin.
Gerakan ini dilancarkan sebagai bentuk luahan kekecewaan terhadap sikap segelintir selebriti tempatan yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk yang berkaitan dengan Israel di media sosial mereka.
Antara yang sangat dikritik adalah pelakon Nadhir Nasar, walaupun dia telah menjelaskan bahawa tindakannya itu disebabkan dia telah menandatangani kontrak dengan beberapa jenama sebelum serangan Zionis di Semenanjung Gaza bermula pada Oktober tahun lepas.
Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 28, berkata, dia bersetuju untuk bekerjasama dengan produk tersebut sebelum ini kerana dia yakin ia boleh membantu meningkatkan kerjayanya.
“Kerjasama dengan jenama tersebut dibuat tahun lalu dan ia berdasarkan keadaan ketika itu.”
“Keputusan saya bekerjasama dengan mereka berdasarkan komitmen ikhlas untuk memupuk kreativiti dan menyokong artis seperti saya.”
“Walaupun memahami dan menghormati kebimbangan yang dikemukakan, adalah penting saya teruskan komitmen kontrak saya dengan mereka,” jelasnya.
Nadhir berkongsi perkara tersebut melalui posting di akaun X pada hari Ahad.
Nadhir juga menyatakan bahawa jika dia memutuskan untuk menamatkan kontrak sebelum tempoh tersebut, ini akan membuka peluang bagi tindakan undang-undang yang boleh memberikan kesan ke atasnya.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa saya mengambil maklum balas dengan serius.” – NADHIR NASAR
Katanya juga, perkara itu bukan sahaja membabitkan dia tetapi melibatkan banyak pihak lain.
“Usaha menamatkan kontrak sebelum tiba waktunya mempunyai kesan seperti penalti wang dan potensi tindakan undang-undang.”
“Ia bukan sahaja memberi kesan kepada diri saya malah orang lain yang terlibat dalam kolaborasi berkenaan,” kongsinya.
Nadhir akan mengambil setiap komen dari peminat dengan serius dan akan mempertimbangkan dengan lebih teliti.
Dia juga akan menggunakan setiap platform media sosial dengan berkongsi perkara positif.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa saya mengambil maklum balas dengan serius, dan saya komited untuk menangani sebarang kebimbangan dengan cara yang telus dan membina.”
“Pada masa akan datang, saya akan terus melibatkan diri dengan komuniti dan berusaha untuk menggunakan platform saya untuk mempromosikan positif dan perubahan sosial,” katanya.
Baca:
Proses masak yang minima, resipi kuih getas lembut sungguh menyelerakan, cubalah!
Sebelum pergi hospital, cek dulu sistem pencernaan badan guna kunyit hidup, gosok-gosok je!