Umum mengetahui bahawa sehingga ke detik ini, kes poligami masih menjadi topik perbincangan hangat di pelbagai platform media sosial.
Kebanyakkan wanita dilihat sangat membangkang poligami manakala kaum Adam pula begitu tegas mempertahankan berikutan ia amalan sunnah Rasulullah SAW.
Walau bagaimanapun, umat Islam sering alpa bahawa hukum tidak boleh ditetapkan berdasarkan zahir semata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu.
Begitu juga dengan hukum poligami, terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh menzalimi seperti dinyatakan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan.
“Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat tiga yang bermaksud: Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja.
“Ayat di atas dengan jelas menunjukkan kalau ditakuti membawa kepada kezaliman jika berpoligami, maka cukuplah berkahwin satu sahaja,” tulis keterangan tersebut.
Difahamkan, kezaliman yang dimaksudkan di sini adalah ketidakmampuan seorang suami dalam pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan, dan kemampuan fizikal.
Prihatin dengan kemaslahatan ummah, seorang mutawif tampil berkongsi tips dan juga pengalaman dialaminya ketika diganggu orang ketiga sepanjang bekerjaya.
Berikut kami kongsikan empat tips daripada pengasas Tadabbur Trip iaitu Abduh Nursalam yang berjaya menepis ‘godaan’ puluhan ribu jemaah haji dan juga umrah.
1) Wajib berlaku jujur dan nyatakan status diri
Lelaki mungkin secara tidak sedar boleh memberi harapan kepada wanita-wanita di luar sana sekiranya tidak berlaku jujur dan menipu mengenai status perkahwinan.
Jangan mencuba ‘test market’, sentiasa mengingatkan diri mengenai keadaan isteri di rumah dan apakah perasaan anda jika lelaki lain berminat dengan ‘orang rumah’ sendiri.
Dengan berlaku jujur, hebahan ini membuatkan wanita asing menjarakkan diri dan tidak berlebih-lebihan dalam bergurau atau bercakap. Mereka akan hormat anda.
2) Jaga jarak jika ada yang masih mengejar
Bukan sahaja perlu menjarakkan diri dari wanita bujang, lelaki juga perlu berhati-hati dengan ‘ibu-ibu’ yang mahu jadi isteri kedua atau melamar anda sebagai menantu.
Usahakan untuk tidak melayan mesej atau panggilan telefon kerana sekali sahaja anda melayan, secara tidak sedar ruang fitnah terbuka luas dan menjadi berleluasa.
Anda akan dilanda penyakit ‘angau’ yang pernah dijangkiti ketika bercinta dengan isteri dan mungkin lebih dahsyat hingga terjadi peristiwa buruk dengan alasan ‘takdir’ atau ‘jodoh’.
3) Sentiasa maklumkan dan libatkan isteri
Pergaduhan besar mungkin akan berlaku sekiranya anda cuba untuk menyorokkan sesuatu perkara daripada isteri dan rahsia itu terbongkar daripada mulut orang lain.
Walaupun proses ini dirasakan leceh dan membuang masa oleh kebanyakan suami, namun isteri akan lebih terbuka menerima sesuatu khabar dari mulut anda sendiri.
Jangan pula jadi lurus sangat apabila semua benda mahu diceritakan, perlu pandai melihat perkara tersebut mengikut keperluan dan kesesuaian masa serta tempat.
4) Bagaimana jika anda memang teringin berpoligami?
Tanya diri sendiri sama ada anda mampu segi zahir dan batin? Jangan berangan jika nafkah isteri dan anak selalu terabai dan duit di tangan hanya ‘cukup-cukup’ makan.
Jika tidak mampu, disarankan untuk mengikut langkah 1 hingga 3. Jangan gatal nak selamatkan para janda dan gadis kerana andalah yang perlu diselamatkan terlebih dahulu.
“Saya sedar, semua orang akan diuji. Ustaz ke tidak, asalkan lelaki, semua akan diuji. Ujian yang sama atau mungkin berbeza. Cuma kita boleh menghindar daripada masalah.
“Jika ikhtiar sudah dilakukan dan masih bertemu jalan buntu. Maka berserahlah dan bersujudlah padaNYA. Pengkaji dan pemerhati poligami, bukan pengamal.” Katanya.
Baca juga: Tutup bekalan elektrik pada mesin penapis air jika tidak digunakan dalam tempoh lama ini sebabnya