“Terima kasih Maryam. Saya akan berusaha dengan lebih teliti dan percepat selesaikan masalah ini demi kesejahteraan anak-anak di sekolah.”
Itu reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung aduan masalah tandas sekolah oleh si cilik yang memperkenalkan dirinya sebagai Maryam.
Menerusi sepucuk surat berbahasa Inggeris, murid darjah 3 mengadu mengenai keadaan tandas di sekolahnya yang kotor, sekali gus tidak mengikut saranan kerajaan untuk menjaga kebersihan kemudahan itu.
Kanak-kanak berkenaan yang merujuk Anwar sebagai Uncle Anwar itu berkata, selain keadaan tandas di sekolahnya yang kotor, terdapat juga beberapa bahagian silingnya yang sudah hilang.
“Hi Uncle Anwar.. nama saya Maryam dan berumur 9 tahun. Saya nak bagitahu tentang tandas di sekolah saya.
“Sebelum itu, saya sangat menghargai perancangan anda untuk menjadikan tandas di sekolah-sekolah bersih dan cantik, tetapi tandas di sekolah saya tidak begitu.
“Di sekolah saya hanya ada dua tandas yang mempunyai tandas duduk, iaitu di tingkat paling atas. Kelas saya juga terletak di aras yang sama.
“Di baris pertama bilik air itu adalah tandas cangkung (squat toilet). Ya, ianya adalah tandas cangkung.
“Di tepi tandas cangkung itu, saya dapati ada satu lubang yang membolehkan labah-labah keluar. Tolong datang ke sekolah saya untuk meninjau keadaan ini,” tulis murid itu dalam catatannya.
Sehubungan itu, Maryam berharap Perdana Menteru dapat meninjau keadaan tandas sekolahnya untuk melihat sendiri situasi buruk yang dia ceritakan.
“Tolong melawat tandas sekolah saya dan melihat keadaannya.
“Saya juga banyak melihat gambar tandas sekolah yang sudah diubah suai dan keadaannya sangat cantik, namun tandas sekolah saya tidak seperti itu,” katanya.
Jelasnya, hanya dua bilik air yang mempunyai tandas duduk dan meminta Anwar menambah lagi bilangan tandas duduk.
“Satu perkara lagi saya nak beritahu anda adalah tentang siling di tandas sekolah saya.
“Buat masa ini, dua siling telah hilang,” katanya yang mengakhiri penulisannya dengan ucapan ‘Thank you Uncle Anwar’.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar berkata projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah dijangka hampir siap sepenuhnya tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu antara permasalahan rakyat yang sedang diatasi kerajaan.
“Tidak boleh diterima akal bahawa selama ini kita membiarkan anak-anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 atau Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” di Dewan Rakyat, 13 Oktober lalu.
Baca:
Projek penempatan manusia di bulan menjelang 2040, ini kemajuan NASA yang diketahui setakat ini
Lelaki kongsi cerita lihat kera bewarna putih bersama tuan berjubah, beruk berdiri seperti manusia