Realtime website trackingweb stats

Muka wanita jadi hitam lepas pakai krim pemutih, ini tiga cara kesan produk pencerah ada merkuri

Oleh ADINDA

Muka wanita jadi hitam lepas pakai krim pemutih, ini tiga cara kesan produk pencerah ada merkuri.

Memiliki kulit wajah yang putih, mulus dan licin sememangnya menjadi impian setiap wanita.

Gembira bukan kepalang apabila melihat wajah yang dahulunya kusam kian berubah menjadi cerah dan anjal, namun tahukah anda tidak semua bahan di dalam produk berkenaan selamat untuk digunakan malah memudaratkan tubuh.

Sebagaimana perkongsian seorang wanita yang menggunakan akaun TikTok @nurnnyas, dia berkongsi kesan yang ditanggung ketika ini akibat pemakaian produk yang mengandungi merkuri.

Ramai wanita cenderung untuk terpengaruh menggunakan produk kosmetik tanpa mengambil kira kandungannya. -Gambar hiasan

Jelas wanita berkenaan, kulit wajahnya berubah menjadi kehitam-hitaman seperti kesan terbakar selepas setahun menggunakan krim produk berkenaan.

“Saya fikir pada mulanya kerana sinaran matahari sebab saya bekerja di lapangan (luar). Tapi lama-lama pun kesannya tidak hilang. Akhirnya saya memutuskan untuk berhenti.

“Tapi bila berhenti, makin teruk. Saya kebingungan dan ambil langkah untuk biarkan saja. Tiga tahun kebelakangan ini, kesannya memburuk,” katanya menerusi video berkenaan.

Wanita tersebut berkata, dia kemudian mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di klinik kulit.

“Seorang doktor mendiagnosis kulit saya dan menurutnya selain kerana kesan merkuri, masalah tersebut juga berpunca akibat kesan terkena sinaran matahari secara terus ke kulit,” katanya lagi.

Masih di dalam tempoh rawatan, wanita berkenaan berkata perkongsian yang dibuat di TikTok bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan produk wajah terutama yang mengandungi bahan seperti merkuri.

Kebanyakan produk kosmetik adalah produk timbang kilo. -Gambar hiasan

Justeru, bagaimana caranya untuk mengenal pasti sama ada sesuatu produk mengandungi merkuri?

Portal Hellodoktor berkongsi beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan produk tersebut selamat dan tidak mengandungi merkuri, iaitu:

1) Cuba sapukan krim tersebut pada tangan dan gosokkan barang kemas yang diperbuat daripada emas. Jika krim tersebut bertukar warna kepada kelabu atau kehitam-hitaman, ia mengandungi merkuri.

2) Periksa label di belakang produk. Jika ada perkataan mercurous chloride, calomel, mercuric, mercurio atau mercury, anda perlu berhenti menggunakan produk tersebut secepat mungkin.

3) Krim yang mengandungi merkuri mempunyai bau yang kuat dan menusuk hidung.

Ibu yang mengandung dinasihatkan untuk mengelakkan pengambilan produk yang mengandungi merkuri.

Implikasinya bukan sahaja akan menimpa si ibu, ia juga boleh membawa masalah kepada bayi dalam kandungan.

Untuk mendapatkan maklumat sahih, anda boleh memeriksa jenama produk yang mengandungi merkuri melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jadilah pengguna yang bijak!

Baca:

Kereta Elektrik Rolls-Royce Spectre dilancar di Malaysia, harga permulaan buat ramai telan air liur

Kantoi kikis duit suami orang sampai bercerai berai, rupanya ini perangai isteri baru ND Lala

Amelia nampak menahan sabar tahap tinggi dengar Abang Tesla punya sembang