Muhyiddin Sah Berundur Sebagai Pengerusi Perikatan Nasional

Oleh ABDULLAH HAMID

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), menurut pengumuman yang dibuat beliau pada malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Menurut maklumat yang diperoleh, bekas Perdana Menteri itu memaklumkan keputusan berkenaan menerusi kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.

“Ya, Tan Sri memaklumkan perkara tersebut malam tadi,” kata Tun Faisal secara ringkas ketika dihubungi.

Sumber dalaman parti memaklumkan bahawa Muhyiddin telah memuktamadkan keputusannya untuk berundur daripada jawatan Pengerusi PN walaupun pada peringkat awal terdapat bantahan daripada sebahagian ahli MPT yang menggesa beliau mempertimbangkan semula pendirian itu.

Menurut sumber berkenaan, Muhyiddin sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk berundur pada bila-bila masa dan pandangan tersebut turut dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp Ahli Parlimen.

“Namun, hasrat itu mendapat tentangan daripada beberapa ahli MPT yang meminta beliau menarik balik keputusan tersebut.

“Bagaimanapun, sekitar tengah malam, Tan Sri memaklumkan bahawa beliau telah membuat keputusan muktamad dan berharap semua ahli MPT dapat menerima pendiriannya,” kata sumber itu.

Peletakan jawatan itu berlaku ketika hubungan antara BERSATU dan PAS dilihat semakin tegang, susulan perkembangan politik di Perlis yang menyaksikan PAS kehilangan penguasaan kerajaan negeri selepas didakwa berlaku percubaan rampasan kuasa oleh pemimpin BERSATU.

Ketegangan tersebut turut membawa kepada peletakan jawatan ADUN Sanglang dari PAS, Mohd Shukri Ramli, sebagai Menteri Besar Perlis.

Sejak itu, beberapa pemimpin PAS dilaporkan menyuarakan kemungkinan untuk meninggalkan PN, termasuk cadangan mencari pakatan baharu bersama UMNO atau mengambil alih kepimpinan gabungan berkenaan.

Terdahulu, terdapat desakan daripada PAS agar jawatan Pengerusi PN diserahkan kepada parti itu, termasuk gesaan terbuka oleh Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Sementara itu, sumber memaklumkan sebahagian ahli MPT berpandangan Muhyiddin wajar kekal menerajui PN dan berpendapat PAS seharusnya meneruskan hasrat mereka untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama UMNO.

“Mereka berpandangan PN boleh terus bergerak bersama Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) tanpa PAS, dan dengan situasi itu, parti-parti lain seperti MCA dan MIC mungkin lebih selesa untuk menyertai PN,” katanya.

Walaupun menghormati keputusan Muhyiddin, sumber itu berkata terdapat ahli MPT yang masih berharap beliau mempertimbangkan semula keputusannya dan terus memimpin PN.