Seorang ahli parlimen wanita membuat laporan polis ke atas Menteri Besar Kedah kerana mendakwa mengungkap perkataan lucah.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung video ceramahnya yang didakwa menggunakan kata-kata kesat dan lucah.
Syerleena berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 9.17 pagi berikutan Muhammad Sanusi dalam satu video tular semasa ceramah Perikatan Nasional (PN) di Permatang Pauh, Pulau Pinang yang didakwa biadap.
“Dia dengan berani menggunakan kata-kata kasar (merujuk pada alat kelamin lelaki yang tidak disunat).
“Dengan menggunakan bahasa seperti itu dan sama sekali mengabaikan komposisi gender audiensnya, dia menciptakan suasana toksik yang merendahkan semangat dan menjejaskan rasa hormat serta kebijaksanaan yang diperlukan sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan Sanusi menyebut alat kelamin lelaki dalam loghat Hokkien yang tidak bersunat semasa sebuah ceramah PN di Permatang Pauh, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Sementara itu, semasa sidang media di Parlimen hari ini, Syerleena berkata seorang pemimpin tidak boleh buat perkara seumpa itu yang telah menyinggung khalayak yang terdiri daripada kaum wanita dan kanak-kanak.
“Kita cukup hairan melihat kualiti (pemimpin) sebegini yang tidak sepatutnya. Perbuatan ini tidak boleh dikompromi,” katanya.
Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.
Menurut Syerleena, dia membuat laporan polis itu kerana mendapati ucapan pemimpin PAS itu mempunyai unsur jenayah dan menghasut orang ramai.
“Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
“Perkataan-perkataan yang digunakan oleh beliau sangat kesat dan lucah dan tidak sepatutnya digunakan oleh seorang pemimpin, terutamanya dari parti agama seperti PAS,” katanya.
Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq menekankan bahawa budaya orang Kedah bukanlah budaya biadap sebaliknya bersopan santun dan berbudi pekerti.
“Saya sendiri orang Kedah, kalau beliau kata itu cara orang Kedah berbicara, itu salah. Ini amat memalukan, beliau seorang MB (menteri besar) Kedah yang mewakili nama baik negeri dan Sultan Kedah. Beliau sepatutnya menunjukkan imej yang baik,” katanya.
Sementara itu, Lim menasihati pihak pembangkang untuk tidak memilih politik kotor melibatkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) semata-mata ingin mengejar populariti dan meraih undi penyokong menjelang Pilihan Raya Negeri ini.