Realtime website trackingweb stats

Monarki tidak selamanya di singgahsana

Oleh ADINDA

Pemerintahan monarki atau sistem pemerintahan beraja merupakan sejenis kerajaan di mana Raja menjadi ketua negara. Monarki atau sistem pemerintahan beraja adalah sistem tertua di dunia.

Pada awal kurun ke-19, terdapat lebih 900 buah takhta kerajaan di dunia, tetapi menurun kepada 240 buah dalam abad ke-20. Manakala pada dekad kelapan abad ke-20, hanya 40 takhta sahaja yang masih kekal. Daripada jumlah tersebut, hanya empat negara mempunyai raja atau monarki yang mutlak dan selebihnya terhad kepada sistem perlembagaan.

Perbezaan diantara Raja dengan Presiden sebagai Ketua Negara adalah Raja menjadi Ketua Negara sepanjang hayatnya, manakala Presiden biasanya memegang jawatan ini buat jangkamasa yang tertentu. Namun dalam negara-negara persekutuan seperti Malaysia, Raja atau Agong hanya berkuasa selama 5 tahun dan akan digantikan dengan raja dari negeri lain dalam persekutuan.

Dalam zaman sekarang, konsep monarki mutlak hampir tidak wujud lagi dan kebanyakannya adalah raja berperlembagaan, iaitu raja yang terhad kuasanya oleh perlembagaan. Monarki juga merujuk kepada orang atau institusi yang berkaitan dengan Raja atau kerajaan di mana raja berfungsi sebagai ketua eksekutif.

Monarki demokratik atau dalam bahasa Inggeris Elective Monarchy, adalah berbeza dengan konsep raja yang sebenarnya. Pada kebiasaannya raja itu akan mewarisi takhtanya (hereditary monarchies). Tetapi dalam sistem monarki demokratik, takhta raja akan bergilir-gilir di kalangan beberapa sultan. Malaysia misalnya, mengamalkan kedua-dua sistem iaitu raja berpelembagaan serta monarki demokratik.

Bagi kebanyakan negara, Raja merupakan simbol kesinambungan serta kedaulatan negara tersebut. Selain itu, raja biasanya ketua agama serta Panglima Besar angkatan tentera sesebuah negara. Contohnya di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam, manakala di United Kingdom dan negara di bawah naungannya, Ratu Elizabeth II adalah ketua agama Kristian.

Tetapi tahukah anda, sekitar abad ke 20 dan 21 ini, sistem pemerintahan monarki telah hilang di hampir 41 buah negara secara rasmi. Sepanjang sejarah, monarki atau pemerintahan beraja di beberapa buah negara ini dihapuskan sama ada melalui pembaharuan perundangan, kudeta (rampasan kuasa) atau peperangan.

Sejarah dunia menunjukkan kebanyakan monarki yang masih wujud dalam zaman moden telahpun mengalami proses pembaharuan yang ketara bermula abad ke 20.

Berikut adalah beberapa negara yang popular kebanyakkan kita mengetahui namanya dan sebelum ini merupakan sebuah negara pemerintahan monarki tetapi kini tidak lagi

MESIR

King Farouk bergelar Raja Mesir dan Sudan, Nubia dari Kordofan dan Darfur sehingga 1948

Sebuah keluarga monarki berpengaruh di Mesir dan Sudan, Dinasti Muhammad Ali yang ditubuhkan oleh Muhammad Ali Pasha semasa kegemilangannya menguasai sebahagian besar Mesir, Sudan dan beberapa bahagian di tanah Arab.

Raja terakhir dinasti hebat ini adalah Fuad II yang mewarisi takhta dari ayahnya Raja Farouk, yang bertindak melepaskan takhta pada tahun 1952 ekoran berlakunya revolusi. Fuad pada ketika itu baru berusia beberapa bulan diharapkan dapat menyatukan masyarakat Mesir yang berpecah-belah, namun usaha ini gagal.

Mesir diumumkan sebagai republik pada 18 Jun 1953 dan Fuad ll di bawa ke Switzerland untuk dibesarkan di sana

 

RUSIA 

Nicholas II

Pada tahun 1914, Rusia menyertai Perang Dunia Pertama sebagai balasan kepada pengisytiharan perang Austria ke atas sekutu Rusia, lalu berjuang di pelbagai medan pertempuran walaupun terpencil daripada sekutu-sekutunya dalam Pakatan Bertiga. Pada tahun 1916, Serangan Brusilov oleh Tentera Rusia nyaris menghancurkan seluruh tentera Austria-Hungary. Bagaimanapun, ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan yang sudah menular diburukkan lagi oleh perbelanjaan peperangan yang makin tinggi, pengorbanan yang makin ramai, serta desas-desus rasuah dan penderhakaan. Segala ini membentuk suasana “Revolusi Februari”

Revolusi Februari memaksa Nikolai II supaya turun takhta, kemudian baginda sekerabat dipenjarakan lalu dihukum mati. Pemerintahan raja diganti oleh sebuah parti campuran goyah yang mengaku sebagai Kerajaan Sementara. Dalam masa yang sama, wujud sebuah lagi pemerintahan sosialis alternatif iaitu Soviet Petrograd yang mendapat sokongan daripada kesatuan buruh dan petani dan bergelar Soviet. Pemerintahan kuasa-kuasa baru ini hanya memburukkan krisis di Rusia dan akhirnya, Revolusi Oktober pimpinan ketua Bolshevik, Vladimir Lenin, menggulingkan Kerajaan Sementara lalu membentuk negara sosialis yang pertama di dunia.

CHINA

China pada awal dan pertengahan abad ke-20 mengalami pelbagai masalah yang mengancam kedaulatannya. Dinasti Qing gagal memerintah China dengan baik telah disingkirkan oleh pihak nasionalis yang kemudiannya menubuhkan Kuomintang (KMT).

Puyi sebagai maharaja Manchukuo, memakai seragam Mǎnzhōuguó

Kemunculan KMT berikutan dengan gerakan nasionalisme yang muncul di China pada akhir abad ke-19. Gerakan nasionalisme ini muncul ekoran daripada tindakan pencerobohan kuasa asing dan kelemahan pemerintah China ketika itu iaitu Dinasti Qing.

Apabila tentera Maharaja Pu Yi dari Dinasti Qing terakhir melepaskan tembakan ke arah anggota-anggota revolusi pada 10 Oktober 1911, ia merupakan tembakan yang sekaligus menamatkan pemerintahan beraja berusia lebih 2,000 tahun di China.

Tembakan pertama dilepaskan di Wuchang-hari ini sebahagian daripada bandar Wuhan sekaligus mencetuskan peperangan antara bala tentera maharaja dengan askar-askar yang memberontak menentang pemerintahan beraja.
Ekoran daripada insiden itu, 16 lagi wilayah mengisytiharkan perang ke atas maharaja. Pemberontakan besar terakhir dalam sejarah China ini dikenali sebagai Revolusi Xinhai.

Pemberontakan yang bermula di Wuchang itu akhirnya membawa kepada kejatuhan empayar beraja
China dan menandakan kemunculan sebuah republik. Republik ini diketuai oleh revolusinari bernama Sun Yat-sen yang juga pemimpin Parti Nasionalis yang berjuang menuntut semangat nasionalisme, demokrasi dan kesejahteraan rakyat.

Pemerintahan parti ini kemudiannya ditumbangkan oleh Parti Komunis China yang jauh lebih besar dan berpengaruh

TURKI

Sultan Mehmed VI

Beberapa punca kejatuhan sistem monarki Turki Uthmaniyyah. Antara beberapa puncanya adalah masalah ekonomi di mana kerajaan Uthmaniyyah berhadapan dengan kesukaran untuk membayar kembali hutang mereka
dengan bank-bank Eropah. Sebahagian mengatakan terma-terma pinjaman dari bank di Eropah memberikan keistimewaan
kepada Perancis dan Britain, yang mana dua kuasa inilah pula yang menjadi penganjur hutang kepada Uthmaniyyah.

Kebangkitan nasionalis wilayah-wilayah pentadbiran Uthmaniyyah termasuk di Negara Arab dengan tercetusnya Kebangkitan Arab pada tahun 1916. Ia berlaku dengan adanya perbincangan rahsia di antara kuasa penjajah Barat dengan golongan pemimpin Arab. Kebangkitan Arab itu berpunca daripada “a blend of political opportunism, nationalist inclinations, financial incentive (which was provided by the British) and dynastic ambition.”

Perjanjian Sykes-Picot 1916 yang dibuat secara rahsia telah menjadi plan strategik pihak kuasa Barat untuk
memecahbelahkan kerajaan Uthmaniyyah. Ini juga berlaku disebabkan kuasa-kuasa Barat ini beranggapan Uthmaniyyah akan jatuh apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada tahun 1914.

Penyertaan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama juga menjadi penyebab kejatuhan empayar ini. Mungkin mereka tidak mempunyai pilihan untuk tidak terlibat kerana desakan untuk mempertahankan wilayahnya yang cuba dirampas. Selepas Uthmaniyyah menandatangai persetujuan pada bulan Oktober 1914 untuk menyokong Jerman menentang Rusia dengan sokongan dari United Kingdom, ia sebenarnya menambah episod duka buat empayar Uthmaniyyah itu sendiri.

Abdülmecid II

Selepas Sultan Mehmed VI diturunkan takhta dan diusir pada 1 November 1922, Kesultanan telah dimansuhkan. Tetapi pada 18 November 1922, Abdul Majid yang merupakan Putera Mahkota dipilih menjadi Khalifah oleh Perhimpunan Kebangsaan Turki di Ankara. Beliau menabalkan dirinya sebagai Khalifah di Konstantinople pada 24 November 1922.

Pada 3 Mac 1924, enam bulan selepas penubuhan Republik Turki, Khalifah Uthmaniyah telah dimansuhkan dan Dinasti Uthmaniyah digulingkan serta diusir dari Turki oleh puak Turki Muda.

Sultan Abdulmecid II menjadi sultan terakhir dari dinasti pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah. Beliau menjadi sultan kepada kerajaan Uthmaniyyah di ambang pembubarannya di mana beliau sempat memerintah selama hampir 17 bulan bermula 19 November 1922 – 3 Mac 1924. Ketika itu, tiada apa yang mampu dilakukan setelah Republik Turki diisytiharkan dan polisi negara mereka juga telah berubah kepada mengadaptasi sistem yang lebih terbuka, liberal dan mengamalkan sekular. Agama tidak lagi menjadi perkara penting di dalam pertimbangan sebarang polisi negara.

ITALI
Kerajaan Beraja Itali adalah negara yang dibentuk pada tahun 1861 melalui penyatuan Itali yang berada dibawah pengaruh kerajaan Sardinia. Raja Sardinia, Victor Emmanuel II diisytiharkan sebagai raja kerajaan Itali. Kerajaan ini wujud sehingga tahun 1946 setelah rakyat Itali memilih sistem pemerintahan republik berbanding monarki dalam satu pungutan suara perlembagaan. Kerajaan ini merupakan kerajaan di Itali pertama yang mencakupi seluruh kawasan semenanjung Itali selepas kejatuhan empayar Rom.

Umberto II (1946) – Raja Itali yang terakhir

Raja-raja yang memerintah negara ini datangnya daripada Kerabat Savoy:
Vittorio Emanuele II (1861–78) – Bekas Raja Sardinia dan menjadi raja pertama Kerajaan Itali.
Umberto I (1878–1900) – Mengesahkan suatu “Pakatan Bertiga” bersama Jerman dan Austria-Hungary. Dibunuh anarkis pada tahun 1900.
Victor Emmanuel III (1900–46) – Raja yang memerintah ketika Perang Dunia Pertama dan mengasaskan suatu pemerintahan berfahaman fasis bersama Benito Mussolini.

Umberto II (1946) – Raja Itali yang terakhir di mana kerajaan baginda dimansuhkan menjadi sebuah negara republik selepas suatu pungutan suara.

Itali telah bersekutu dengan Jerman Nazi dalam Perang Dunia II sejak 1936. Ia bertukar pihak kepada pihak Berikat pada 1943 selepas menewaskan Mussolini dan menutup parti berfahaman fasis di kawasan (selatan Rom) yang dikawal oleh Berikat. Kawasan kekuasaan pihak Fasis di utara Itali merupakan negara boneka Jerman Nazi yang terus menentang pihak Berikat.

Kawasan tersebut dikenali sebagai Republik Sosial Itali diketuai oleh Mussolini dan pengikut-pengikut setia Fasis. Apabila Perang Dunia II tamat, ketidakpuasan hati rakyat membawa kepada pungutan suara pada tahun 1946 bagi memilih sama ada mengekalkan sistem beraja di Itali atau membubarkannya. Akhirnya, rakyat Itali memilih untuk menjadi sebuah negara republik dan membentuk Republik Itali di mana ia merupakan negara Itali yang kita lihat sehingga hari ini.

IRAN
Shah Mohammad Reza Pahlavi mula memegang kuasa pada tahun 1941, menggantikan ayahanda beliau, Shah Reza. Penggantian ini adalah menerusi rampasan kuasa oleh Inggeris dan Kesatuan Soviet yang menyebabkan Shah Reza terpaksa melarikan diri ke luar negara dan puteranya dipilih menggantikan beliau dengan harapan puteranya akan menjadi sekutu Inggeris dan Kesatuan Soviet.

Shah Mohammad Reza Pahlavi

Shah Reza dikenali sebagai seorang yang nekad untuk memajukan negaranya tetapi pada masa yang sama bertindak kasar terhadap para ulama Iran. Pada tahun 1953, beliau melarikan diri keluar Iran apabila terjadi pergeseran antara beliau dengan Perdana Menteri Iran, Mohammad Mossadegh. Pergeseran ini berpunca daripada polisi Mohammad Mossadegh yang ingin memiliki negara yang dipenuhi lapangan minyak Iran ini dan meletakkan kuasa tentera di bawah penguasaan beliau. Melalui kudeta yang dibantu oleh CIA dan M16 (Operasi Ajax), Mossadegh berjaya digulingkan dan Shah kembali berkuasa.

Seperti ayahanda beliau, Shah Pahlavi meneruskan permodenan Iran. Beliau menjalinkan hubungan yang rapat dengan Amerika dan beberapa negara-negara barat lain dan sering kali mendapat pengiktirafan daripada Amerika kerana pendirian beliau yang menentang komunis. Namun begitu, pihak pembangkang yang terdiri daripada kumpulan berhaluan kiri, nasionalis, dan ulama selalu mengeluarkan kritikan kerana pemerintahan beliau melanggari perlembagaan Iran. Selain itu, rasuah dalam politik berleluasa dan juga tekanan politik menerusi badan perisikan beliau iaitu SAVAK.

Revolusi Iran ialah sebuah revolusi yang mengubah kerajaan Iran daripada sistem pemerintahan monarki kepada sistem Republik Islam. Pertukaran ini dibuat melalui pungutan suara rakyat Iran oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini, setelah beliau berjaya mengusir raja Iran terakhir, Shah Mohammad Reza Pahlavi keluar dari Iran.

Revolusi ini terjadi kepada dua peringkat. Peringkat pertama bermula pada pertengahan 1977 hingga tahun 1979 yang dipimpin oleh pihak liberal, golongan haluan kiri dan kumpulan agama. Kesemua mereka memberontak menentang Shah Iran. Peringkat kedua yang turut dikenali sebagai Revolusi Islam menyaksikan naiknya Ayatollah menjadi pemimpin revolusi.

NEPAL

Pada tahun 2006 bermulalah konflik di Nepal yang ingin menamatkan pemerintahan beraja Nepal, sehingga tahun 2008 ia menjadi republik, dan raja terakhirnya adalah Gyanendra. Berikutan itu, kediaman istana Narayanhiti telah dikosongkan dalam tempoh 15 hari, dan istana tersebut menjadi muzium.

Penghapusan kuasa raja bermula semasa perang saudara pada tahun 1996, ketika parti politik yang dipengaruhi Maois mengusulkan suatu usaha untuk menghapuskan sistem Monarki Berparlimen. Strategi Maois, yang dikenali sebagai Perang Rakyat, dipimpin oleh Dr Baburam Bhattarai.

Raja Gyanendra merupakan raja Nepal terakhir

Pada tahun 2001, pembunuhan sesama kerabat diraja terus meningkatkan pemberontakan Maoist walaupun usaha raja untuk mengambil alih sepenuhnya kerajaan dilakukan. Kerajaan yang tidak stabil dan pengepungan berterusan oleh Maois melemahkan raja dengan Raja Gyanendra mengisytiharkan keadaan darurat kerajaan dan meletakkan beberapa ahli politik ditahan pada 1 Februari 2005.

Pada bulan April 2006, raja menubuhkan semula parlimen dan kemudian gabungan parti mengambil alih kerajaan lalu mengurangkan kuasa raja. Pada 24 Disember 2007, Dewan Perlembagaan Nepal telah ditubuhkan dan memutuskan penghapusan monarki dengan Nepal diisytihar sebagai Republik Demokratik Persekutuan pada 28 Mei 2008. Maka berakhirnya kerajaan Hindu terakhhir di dunia.