MOF Nafi Dakwaan Tambahan Had BUDI95, Kuota 200 Liter Kekal

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 7 Apr – Kementerian Kewangan Malaysia menegaskan bahawa dakwaan kononnya wujud permohonan umum untuk menambah had subsidi di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah tidak benar.

Menurut kementerian itu, kekeliruan timbul susulan salah tafsir terhadap satu fungsi dalam portal BUDI95 yang pada asalnya diwujudkan bagi tujuan tertentu, bukannya untuk permohonan tambahan berdasarkan keperluan peribadi.

Jelas MOF, fungsi berkenaan hanya terpakai untuk kes khusus yang mempunyai keperluan operasi jelas dan disahkan, seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

“Fungsi permohonan tambahan itu telah disalah faham sebagai ruang untuk meningkatkan had kelayakan secara bebas. Susulan itu, butang berkenaan kini telah dinyahaktifkan,” menurut kenyataan tersebut.

MOF turut menegaskan bahawa had kelayakan subsidi sebanyak 200 liter sebulan kekal dikekalkan bagi memastikan bantuan disasarkan kepada majoriti rakyat serta menjamin kestabilan bekalan bahan api.

Langkah itu, menurut kementerian, adalah bersifat sementara berikutan tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global yang meningkatkan kos subsidi dan memerlukan pengurusan lebih berhemah.

Berdasarkan data semasa, had 200 liter tersebut mencukupi untuk kira-kira 90 peratus pengguna BUDI95.

“Pada kadar bersubsidi RM1.99 seliter, pengguna boleh menikmati bekalan RON95 sehingga RM398 sebulan, dengan kerajaan menanggung kira-kira RM500 subsidi bagi setiap penerima,” katanya.

Kerajaan juga memberi jaminan akan terus melindungi kepentingan rakyat melalui penguatkuasaan lebih ketat bagi membendung ketirisan, di samping memantau perkembangan pasaran tenaga global dan bersedia melakukan pelarasan dasar sekiranya perlu.