Minyak Turun: Anwar Umum Enam Langkah Penghargaan Untuk Rakyat

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Minyak Turun: Anwar Umum Enam Langkah Penghargaan Untuk Rakyat

Putrajaya, 23 Julai 2025 — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan enam langkah besar sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Dalam satu pengumuman khas yang disiarkan secara langsung, Perdana Menteri menyatakan bahawa inisiatif-inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan untuk terus melindungi kebajikan rakyat di samping merangsang pertumbuhan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.

1. Sumbangan Tunai RM100 untuk Semua Dewasa
Mulai 31 Ogos 2025, semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara one-off di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Bantuan ini akan disalurkan terus ke MyKad penerima, sekaligus memanfaatkan lebih 20 juta rakyat dewasa di seluruh negara.

2. Cuti Tambahan Sempena Hari Malaysia
Sebagai tanda penghargaan terhadap semangat perpaduan negara, Kerajaan mengisytiharkan Isnin, 15 September 2025 sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara, sempena sambutan Hari Malaysia.

3. Jualan Rahmah MADANI Diperluas
Bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada harga barang keperluan yang lebih murah, Kerajaan meningkatkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI dari RM300 juta kepada RM600 juta pada tahun ini.

4. Kadar Tol Kekal, Tiada Kenaikan Tahun Ini
Kerajaan turut mengumumkan penangguhan kenaikan kadar tol bagi tahun ini. Keputusan ini akan memberi kelegaan kepada pengguna lebuhraya dan Kerajaan akan menanggung kos pampasan lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi.

5. Harga Petrol RON95 RM1.99 Seliter
Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan kelak, rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol yang lebih rendah — RM1.99 seliter, antara harga terendah di dunia buat pengguna domestik.

6. Bil Elektrik Turun Hingga 14%
Mulai Julai lalu, sebanyak 85% pengguna domestik menikmati pengurangan bil elektrik sehingga 14%, susulan pelaksanaan tarif elektrik bersasar.

PMX Dengarkan Rakyat, Kerajaan MADANI Prihatin

Langkah-langkah ini menggambarkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat.

Apabila kerajaan mempunyai ruang fiskal hasil peluasan SST dan rasionalisasi subsidi diesel, manfaatnya dipulangkan kepada rakyat.

Bantuan ini bukan sekadar bantuan tunai, tapi penghargaan atas kesabaran dan kerjasama rakyat menghadapi cabaran ekonomi global.

Kerajaan juga merakamkan penghargaan kepada Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan atas intervensi tepat dalam mengurangkan kadar faedah OPR dan memperkukuh dasar fiskal negara.

Meskipun ekonomi global berdepan tekanan berikutan dasar tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, PM Anwar menegaskan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan menunjukkan tanda pemulihan.

Langkah-langkah ini turut mendapat pujian pelbagai pihak yang melihatnya sebagai usaha proaktif dan berhemah dalam membantu rakyat, serta menyuntik semula keyakinan terhadap pentadbiran negara.