Realtime website trackingweb stats

Menteri dedah macam mana kerajaan boleh dapat ilham naik gaji RM1500 ke RM1700

Oleh ABDULLAH HAMID

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menegaskan bahawa kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang akan berkuat kuasa

Pada 1 Februari 2025 bukanlah angka yang ditentukan secara sembarangan, tetapi melalui proses yang teliti

Mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dalam Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Akta 732).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata perubahan kadar gaji lantai itu dilaksanakan berdasarkan kajian dan prosedur yang sah, dan bukan sekadar angka yang diambil tanpa asas.

Beliau menjelaskan bahawa Akta 732 mewajibkan kajian dan penetapan semula kadar gaji minimum setiap dua tahun sekali.

Menteri dedah macam mana kerajaan boleh dapat ilham naik gaji RM1500 ke RM1700

“Ini bukanlah angka yang dipetik tanpa asas. Prosesnya melalui kajian, prosedur, dan undang-undang yang berkaitan,” kata Sim ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai langkah-langkah yang diambil, Sim menjelaskan bahawa kajian pertama dilakukan melalui Perintah Gaji Minimum (PGM) yang dijalankan dari Oktober 2022 hingga November 2023. Kajian ini melibatkan 3,849 responden, terdiri daripada 1,911 majikan dan 1,930 pekerja.

Kajian itu bertujuan untuk mengumpul dan menganalisis data, menjalankan penyelidikan tentang struktur gaji serta petunjuk sosial ekonomi, serta mendapatkan maklum balas mengenai kesan pelaksanaan PGM 2022.

“Data dari soal selidik ini telah dianalisis dan digunakan sebagai input dalam kajian semula PGM,” katanya.

Sim juga menambah bahawa Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Minimum Negara telah mengadakan 26 sesi libat urus di seluruh negara, dengan penyertaan daripada 1,109 wakil majikan dan industri.

Selain itu, pandangan turut dikumpulkan daripada agensi kerajaan, kerajaan negeri, dan pakar gaji, termasuk pakar antarabangsa dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Sebanyak 61 pandangan dan cadangan diterima daripada 36 memorandum yang dihantar oleh wakil majikan dan pekerja yang tidak dapat menghadiri sesi libat urus. Memorandum ini disalurkan melalui laman sesawang KESUMA,” ujarnya.

Sim menjelaskan bahawa syor kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 itu dicapai secara sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Gaji Negara yang melibatkan wakil kerajaan, majikan, dan pekerja.

“Penetapan kadar gaji minimum ini akan dilaksanakan secara seragam di seluruh negara, merentasi semua sektor tanpa perbezaan, kerana ILO tidak menggalakkan struktur gaji yang terlalu kompleks, yang boleh menyukarkan penyampaian maklumat dan menimbulkan kekeliruan serta konflik,” katanya.

Menurut Sim, ILO mencadangkan agar negara anggota melaksanakan sistem gaji minimum yang ringkas dan mudah untuk memudahkan pelaksanaan dan pemantauan.

BACA:‘Tiada jaminan keselamatan pemberi maklumat skandal rasuah Sabah jika dia pemberi rasuah’ – PM