Realtime website trackingweb stats

Menggemparkan, pengarah jabatan kerajaan dan 4 lagi rupanya makan rasuah projek bekalan air RM44.4 juta

Oleh AHMAD ISMAIL

Menggemparkan ketika masih ada rakyat Sarawak menghadapi masalah bekalan air bersih, rupanya seorang pengarah jabatan kerajaan dan 4 individu lagi makan rasuah projek berjumlah RM44.4 juta.

Hal itu terbongkar apabila kesemua mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10 Oktober.

Seorang lagi penjawat awam, pemilik syarikat dan pengurus pelaburan amanah juga ditahan sekitar jam 7.30 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sarawak.

Kesemua mereka disyaki terbabit memberi dan menerima suapan bernilai jutaan ringgit termasuk dalam bentuk kenderaan dan kediaman, lapor BH.

Memetik sumber, suspek utama disyaki menerima suapan sejak 2018 hingga 2021 daripada pemilik syarikat sebagai balasan membantu syarikat itu mendapatkan dua projek membabitkan bekalan air.

“Pengurus pelaburan amanah pula ditangkap kerana disyaki menerima bayaran wang rasuah dan kediaman bagi pihak suspek utama.

“Semua suspek lelaki yang ditahan itu berusia antara 30 hingga 50-an,” kata sumber tersebut.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai dilapor mengesahkan tangkapan itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semua suspek terbabit akan di bawa ke Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak pagi ini untuk permohonan reman.

Pada Mei lepas, Sarawak dilapor memerlukan peruntukan sebanyak RM19.2 bilion bagi melaksanakan Pelan Induk Bekalan dan Grid Air.

Peruntukan sebanyak itu bagi memastikan 100 peratus kawasan di Bumi Kenyalang itu menikmati bekalan air bersih menjelang 2030.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 sahaja, sebanyak RM5.9 bilion diperlukan bagi pelaksanaan pelbagai projek bekalan air.

Namun, jenayah rasuah membabitkan penjawat awam berpangkat pengarah jabatan kerajaan, pemilik syarikat dan pengurus pelaburan amanah dibimbangi merencatkan usaha tersebut.

Akhirnya, bantuan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada kerajaan Sarawak hanya mengkayakan perasuah.

Rakyat Sarawak pula terus berharap akan menanti untuk menerima bekalan air bersih yang rupanya peruntukan sudah ‘disapu’ bersih oleh gerombolan perasuah.

Baca:

“Aku dah kaya tak perlu duit lelaki” – Ruhainies jawab tuduhan hanya kejar lelaki kaya

Siap ada grup Telegram tapi semua ahli ‘hantu’, cara licik ‘scammer’ ini mungkin ramai tak sangka

Rimas rambut gugur dan nipis, guna kiub limau purut bercampur santan saja, memang mudah