KUALA LUMPUR, 22 Julai 2025 — Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan keputusan kerajaan yang tidak meneruskan tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh, sambil menyifatkan alasan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak meyakinkan.
Menurut beliau, jika benar tiada kes yang kukuh, Anwar sepatutnya mengakui hakikat itu secara terbuka dan tidak menggunakan faktor usia Mahathir sebagai alasan.
“Kalau betul tiada bukti yang mantap, akui sahaja secara jujur. Jangan berselindung di sebalik faktor umur atau status bekas perdana menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fadhli turut membandingkan situasi Mahathir dengan kes bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, di mana tindakan termasuk penyitaan aset tetap dilakukan walaupun selepas kematiannya.
Katanya, Mahathir tidak pernah meminta kekebalan atau menangguh perbicaraan seperti sesetengah individu lain, malah beliau yakin bekas perdana menteri itu akan bersedia mempertahankan diri jika didakwa.
“Orang tua itu, kalau didakwa, mungkin akan melangkah sendiri ke mahkamah tanpa gentar. Dia bukan jenis yang berlindung di sebalik imuniti,” katanya.
Walaupun menegaskan beliau bukan menyokong Mahathir sepenuhnya, Ahmad Fadhli meluahkan rasa muaknya terhadap alasan yang diberikan Anwar. “Turun sajalah, selesai satu masalah besar negara,” sindirnya.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan bahawa keputusan tidak mengambil tindakan terhadap Mahathir dibuat secara konsensus dalam Kabinet, dengan mengambil kira usia Mahathir yang menjangkau hampir 100 tahun dan kedudukannya sebagai mantan perdana menteri.
“Adakah dia tidak bersalah dalam isu Batu Puteh? Dia bersalah. Tapi persoalannya, adakah kita wajar ambil tindakan? Dalam mesyuarat Kabinet, saya setuju kita tidak teruskan tindakan.
“Saya yakin kalau kita dakwa dia, pihak seperti Kota Bharu (Takiyuddin Hassan) pula akan menuduh kita tidak adil,” kata Anwar ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Untuk rekod, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan tahun lalu berkenaan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, telah mencadangkan agar siasatan jenayah dilakukan terhadap Mahathir.
Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasikan di Parlimen pada 5 Disember lalu menyebut bahawa Mahathir didakwa mengelirukan Kabinet pada 2018 untuk menarik semula permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
RCI juga berpandangan bahawa Malaysia masih memiliki ruang undang-undang untuk mencabar semula keputusan tersebut.