Menara KL ditutup, ini respon Menteri Komunikasi. Penutupan ini dilakukan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan oleh pihak pengurusan baharu – langkah penting demi memastikan keselamatan serta keselesaan pengunjung terjamin.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini, Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa tarikh pembukaan semula menara yang terkenal sebagai antara menara komunikasi tertinggi di dunia itu akan diumumkan kelak menerusi pelbagai saluran media.
Kerajaan turut menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur adalah hak milik negara dan kini berada di bawah pengawasan pengurusan baharu.
“Bermula 1 April 2025, operasi, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah secara rasmi diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM),” kata kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, kerajaan turut menjelaskan bahawa kehadiran syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di tapak menara selepas tarikh 31 Mac 2025 dianggap tidak sah.
Rentetan itu, dua notis pengosongan telah dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kepada MKLSB menerusi surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.
“Sebarang urusan atau operasi yang masih dijalankan oleh MKLSB selepas tarikh tersebut adalah tanpa kebenaran kerajaan,” jelas kenyataan berkenaan.
Untuk rekod, pada 31 Mac lalu, Kementerian Komunikasi menerusi dokumen Soalan Lazim (FAQ) berkaitan konsesi pengurusan Menara KL telah menjelaskan bahawa proses pengambilalihan tidak akan menjejaskan operasi sedia ada mahupun kakitangan yang bertugas di sana.
Malah, perbincangan antara kerajaan dan syarikat konsesi baharu telah menghasilkan persetujuan yang mengekalkan operasi seperti biasa tanpa gangguan terhadap kakitangan mahupun pelawat.
BACA JUGA :
Jangan terkejut restoran berputar Menara KL dah tiada, rupanya ‘sangkut’ kes rasuah RM500,000
Asal usul tapak asal sebelum jadi KLCC, kalau ramai tahu mesti ‘taubat’ nak naik
Boleh cuba ‘healing’ di peparu hijau KL, hutan tengah bandaraya rupanya hanya di Malaysia