Bagi yang setia mengikuti ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti dapat mengesan pendirian Perdana Menteri dalam membela rakyat susah sehingga ada yang anggap beliau membosankan.
Namun, seorang bekas wartawan era 1990-an yang kerap membuat liputan mengenai Anwar ketika menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri, ada pandangan tersendiri.
Ikuti perkongsian pengalaman Zulkarnain Zakaria sebagai pemberita pada 1990-an mengenai sifat konsisten Perdana Menteri sejak di usia mudanya lagi dalam mengangkat golongan rakyat bawahan yang hidup susah:
ANWAR YANG MEMBOSANKAN
Sekitar 1994 hingga 1996 saya sering diberi tugasan membuat liputan berita Datuk Seri Anwar Ibrahim. Waktu itu beliau TPM. Dalam banyak-banyak tugasan berkenaan, ada satu yang bagi saya membosankan. Anti klimaks.
Tugasan itu ialah mesyuarat Jawatankuasa Barang-barang Perlu yang Anwar jadi Pengerusinya.
Dalam satu tugasan itu, saya pernah beritahu seorang pemberita dari media lain, “Boring, intro mesti sama.” Pemberita itu pun ketawa, “Ha’ah, dah boleh agak.” Hahahaa…
Selepas mesyuarat, DSAI memanggil kami untuk sidang media. Dan betul seperti yang saya agak, dalam sidang media itu DSAI berkata…
1. Kenaikan harga barang keperluan rakyat mestilah dihentikan.
2. Memaklumkan mekanisme yang akan diambil untuk mengekang kenaikan harga barang.
3. Para peniaga jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata hingga lupa kepada kesusahan rakyat miskin.
dan keempat, yang saya ingat sampai sekarang…
“Para jutawan, bilionair, korporat dan syarikat-syarikat besar mempunyai tanggung jawab mengembalikan semula kekayaan mereka untuk membantu golongan bawahan yang hidup susah.”
Anwar kemudian menyatakan rasa kesal kepada golongan berkenaan yang kedekut untuk mengagihkan sebahagian daripada kekayaan mereka kepada rakyat, khususnya yang miskin.
“Jangan hanya fikirkan soal untung dan duit sahaja,” beliau tegaskan beberapa kali.
Kenapa saya kata bosan? Sebab sudah beberapa kali saya buat tugasan jawatankuasa tersebut, memang itulah yang akan menjadi perkara utama disebutkan oleh Anwar.
Bagi kami orang media, sesuatu perkara itu bila dicakap berulang-ulang, ia bukan berita. Nilainya rendah. Tidak pergi assignment pun sudah tahu apa yang akan Anwar cakap.
2022: Tapi itu dulu, dalam konteks saya sebagai wartawan Utusan.
Selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kabinet pada 1998, sampailah sekarang, saya lihat dan saya yakin, apa yang Anwar sebutkan dalam sidang media mesyuarat berkenaan adalah prinsip dan perjuangan dirinya.
Beliau konsisten.
Baca:
Kaya vitamin dan mineral tapi kerap diabai, ini 4 waktu sesuai makan buah-buahan
Sepasang pengantin ‘tenggelam’ dikalung duit, rupanya dah memang adat perkahwinan di wilayah ini
Sering jadi topik jenaka, pakar dedah fakta sains kentut wanita sebenarnya lebih busuk dari lelaki