Terdapat pelbagai reaksi daripada orang awam mengenai cadangan penggunaan MyKad atau e-dompet untuk penyasaran subsidi petrol.
Sesetengah orang menyokong idea ini, manakala yang lain mempunyai pandangan berbeza.
Masing-masing mengutarakan hujah dan pandangan mereka berkaitan dengan cadangan ini.
Subsidi petrol RON95 hanya untuk rakyat yang layak
“Cadangan untuk menggunakan MyKad atau e-dompet sebagai platform penyaluran subsidi petrol RON95 adalah satu idea yang baik dan saya menyokongnya.
Ini adalah langkah kerajaan untuk memastikan subsidi petrol hanya dinikmati oleh golongan yang layak, iaitu rakyat berpendapatan rendah, dan tidak disalahgunakan oleh golongan kaya.
Kelebihannya, majoriti rakyat akan terus menikmati harga petrol bersubsidi, manakala warga asing dan golongan kaya akan membeli pada harga yang lebih tinggi.
Ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk membela nasib golongan rakyat, termasuk golongan pertengahan, yang sedang menghadapi cabaran kos sara hidup.
Namun, setakat ini butiran terperinci mengenai pelaksanaan cadangan ini masih belum diumumkan, dan diharapkan ia dapat memuaskan hati semua pihak, terutama majoriti rakyat.”
Peniaga, Nursafikah Khairul Nizam, 26 tahun.
*Mulakan dengan MyKad terlebih dahulu*
“Pada pandangan saya, kerajaan boleh memulakan penggunaan MyKad terlebih dahulu untuk menilai keberkesanannya sebelum meluaskan penggunaan kepada e-dompet
.Ini kerana subsidi petrol ini hanya akan diberikan kepada warganegara Malaysia, dan penggunaan MyKad akan lebih mudah, terutamanya untuk penduduk luar bandar dan warga emas.
Penggunaan e-dompet masih rendah di kalangan masyarakat, dan hanya golongan muda yang lebih mahir menggunakannya
. Dengan menggunakan MyKad, ia akan memudahkan rakyat Malaysia, pekerja stesen minyak, dan warga emas yang mungkin kurang berkemahiran dalam teknologi.”
Pencipta kandungan digital, Mohamad Hafiz Mohd Arif, 25 tahun.
### Bangkang
*Segelintir rakyat tak suka bawa kad pengenalan*
“Pada saya, inisiatif kerajaan untuk mengekang ketirisan subsidi petrol RON95 daripada disalahgunakan oleh golongan kaya dan warga asing adalah satu langkah yang baik.
Namun, ia perlu diperhalusi kerana ada segelintir individu yang tidak suka membawa kad pengenalan ke mana-mana.
Sesetengah mereka beranggapan lesen memandu sudah mencukupi sebagai dokumen pengenalan diri, lebih-lebih lagi dengan adanya lesen memandu digital yang boleh diakses melalui telefon pintar.
Walaupun e-dompet semakin popular di kalangan ramai orang, ada segelintir rakyat yang belum pernah mencuba atau tidak faham cara penggunaannya untuk subsidi minyak.
Oleh itu, kerajaan perlu memberi penjelasan yang lebih terperinci tentang cara penyaluran subsidi dan bagaimana rakyat yang layak dapat memanfaatkannya.”
Pekerja swasta, Maisyarah Ali, 25 tahun.
Tidak mesra pengguna untuk golongan pertengahan umur dan warga emas
“Bagi saya, penggunaan MyKad untuk penyasaran subsidi RON95 tidak menjadi masalah, tetapi penggunaan e-dompet agak sukar bagi golongan pertengahan umur dan warga emas. Kumpulan ini lebih terbiasa menggunakan wang tunai atau kad petrol untuk membayar di stesen minyak. Walaupun niat kerajaan baik, kaedah ini perlu diperhalusi untuk memastikan ia mesra pengguna bagi golongan pertengahan umur dan warga emas, terutama di luar bandar, kerana mereka kurang celik teknologi berbanding golongan muda di bandar.
Penggunaan aplikasi mungkin sukar bagi mereka, dan ada yang perlu menunggu anak-anak mereka pulang untuk mengajarkan cara menggunakan teknologi tersebut.
Selain itu, saya difahamkan data peribadi akan diintegrasikan melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU) untuk penyaluran subsidi, tetapi perinciannya masih belum jelas.
Oleh itu, penerangan yang lebih mendalam perlu diberikan kepada masyarakat, terutama menjelang pelaksanaan yang dijangka pada pertengahan tahun depan.”
Pekerja swasta, Noratika Birin, 28 tahun.