KUALA LUMPUR, — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama beberapa agensi serta jabatan kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan syarikat pengendali media sosial utama termasuk Meta Platforms Inc (Meta), Google dan X di Singapura minggu depan.
Pertemuan itu bertujuan membincangkan mekanisme terbaik bagi pelaksanaan proses pengesahan identiti pengguna secara elektronik atau electronic Know Your Customer (eKYC), selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata tumpuan utama perbincangan ialah memastikan pelaksanaan eKYC berjalan dengan selamat tanpa sebarang risiko ketirisan maklumat peribadi pengguna, khususnya yang melibatkan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.
“Mekanisme terbaik diperlukan untuk memastikan proses eKYC yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan tidak menghadapi sebarang masalah seperti kebocoran atau penyalahgunaan maklumat,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi turut menegaskan bahawa aspek keselamatan kanak-kanak dalam talian menjadi antara keutamaan utama kerajaan, terutama dalam usaha membendung ancaman pedofilia dan eksploitasi digital.
“Kita tahu antara cabaran besar dalam menjamin keselamatan kanak-kanak di alam media sosial ialah melindungi mereka daripada pedofilia. Justeru, pelaksanaan proses eKYC amat diperlukan bagi memastikan identiti pengguna disahkan dengan betul,” ujarnya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (PH) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme kawalan akses media sosial bagi kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah.
Dalam perkembangan lain, Fahmi turut mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan bahawa peruntukan mengenai “perkataan jelik dan menyakitkan hati” di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah tidak berperlembagaan.
Beliau berkata kerajaan menghormati keputusan tersebut, namun sedang meneliti dari segi aspek perundangan dan perlembagaan sebelum mengambil sebarang langkah lanjut.
“Atas nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC), kerajaan telah memfailkan permohonan kebenaran rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, wajar semua pihak menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum membuat sebarang pendirian mengenai elemen ‘jelik dan menyakitkan hati’ dalam Seksyen 233 sebelum pindaan,” katanya.