MCMC Nafi Sekat Laporan Kes Menteri, Siasat Dakwaan Palsu di Media Sosial

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 9 Apr – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang usaha menyekat laporan media berkaitan kes mahkamah yang membabitkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Dalam satu kenyataan, MCMC menyifatkan dakwaan yang tular di media sosial kononnya agensi itu menghalang penyiaran berita berkenaan sebagai tidak benar dan palsu.

“MCMC tidak terbabit dalam kes tersebut dan tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan atau arahan kepada mana-mana organisasi media atau platform digital untuk menyekat kandungan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, MCMC memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab menyebarkan dakwaan berkenaan.

Agensi itu turut menegaskan bahawa penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan maklumat tidak tepat adalah satu perkara serius yang boleh mengelirukan masyarakat.

“MCMC memandang serius sebarang bentuk penyebaran maklumat palsu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

MCMC dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk kepada sumber rasmi dan mengesahkan kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya bagi memastikan persekitaran digital kekal berintegriti dan berfakta.