MCMC, MIDA perkukuh sinergi strategik pacu penggunaan 5G nasional

Oleh Admin 05

KUALA LUMPUR, 13 November – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha mempercepatkan transformasi industri negara melalui penerapan teknologi 5G.

MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, kolaborasi tersebut digerakkan menerusi segmen “Powering Smart Industries” dalam MIDA Flagship Investment Seminar: The Industrial Cluster Development Initiative for the Central Region, yang berlangsung di ibu negara selama dua hari bermula semalam.

Menurut kenyataan itu, penyertaan MCMC merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua agensi yang ditandatangani pada 4 Julai 2024, bertujuan meningkatkan kesedaran serta kesiapsiagaan industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap penggunaan teknologi 5G.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif pelaksanaan, MCMC bersama penyedia rangkaian mudah alih seperti CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), U Mobile dan YTL telah menganjurkan 5G Technology Showcase serta Enterprise 5G Business Clinic, yang menampilkan demonstrasi penggunaan 5G dalam bidang pembuatan pintar, automasi industri, dan analitik masa nyata.

Selain itu, MCMC turut memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti NEXUS, PRIME, NXT, Check Your Label, serta Kempen Internet Selamat (KIS) sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kesedaran dan meningkatkan penglibatan pihak industri terhadap potensi teknologi digital baharu.

“MCMC dan MIDA kekal komited untuk memperkukuh daya saing sektor industri serta mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan teknologi 5G,” jelas kenyataan bersama itu.