KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat dakwaan kesilapan terjemahan kandungan dalam talian melibatkan laporan akhbar China Press berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen semalam.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang menyentuh isu penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi sehingga boleh menimbulkan kekeliruan awam, kegusaran atau menjejaskan keharmonian.
Menurut beliau, siasatan itu dimulakan susulan aduan rasmi yang diterima daripada orang ramai.
“Sekiranya terdapat laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak, perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia dan akan disiasat berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fahmi turut menyeru Majlis Media Malaysia, selaku badan bebas, untuk melaksanakan peranan yang telah ditetapkan, termasuk memastikan pematuhan terhadap etika kewartawanan serta menggalakkan pelaporan yang tepat dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, majlis itu juga berfungsi sebagai platform kawal selia kendiri bagi menangani aduan serta isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.
Dalam pada itu, Fahmi menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan melampau atau bersifat fitnah, terutamanya di media sosial, selain menegaskan kepentingan menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
Difahamkan, kesilapan terjemahan yang dipersoalkan adalah berkaitan titah Seri Paduka Baginda mengenai Bahasa Melayu.