Kerajaan negeri Kelantan dalam jaminan terkini memaklumkan bahawa masalah air dijangka selesai sepenuhnya lagi 4 tahun.
Pihak kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya penukaran paip dapat dipercepatkan.
Itu antara kata Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin pada 24 Mac.
Tambahnya, hanya 20 peratus kawasan di Kelantan yang berdepan masalah air, bukannya sebahagian besar seperti yang didakwa pelbagai pihak.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang di Pengkalan Chepa itu meminta penduduk yang berdepan masalah air supaya bersabar untuk sedikit masa sahaja lagi sebelum ia diselesaikan sepenuhnya.
“Kita jangkakan pada 2028, Kelantan akan mengalami lebihan air sekali gus masalah bekalan air dapat diselesaikan.
“Ini kerana semua loji yang kini dalam pembinaan dan penambahbaikan akan siap sepenuhnya pada akhir 2027.
“Pada masa sama, kita sudah mengenalpasti paip yang perlu ditukar iaitu sepanjang 5,000 kilometer (km), manakala yang perlu ditukar segera adalah sepanjang 1,000 km,” dipetik BH.
Buat masa ini, kata Dr Izani, kerajaan negeri hanya berupaya menukar 150 km untuk setahun.
“Kita akan buat permohonan untuk melantik lebih ramai kontraktor supaya dapat menukar paip sepanjang 250 km setahun.
“Masalah air di Kelantan bukan perkara baharu sebaliknya sudah 30 tahun dan sepanjang tempoh itu pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri sehingga kini,” katanya lagi.
Sebelum ini, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air Kelantan dijangka menerima bekalan air yang sempurna menjelang 2023.
Menurutnya pada 10 September 2020 di Dewan Negara ketika Pas berada dalam pentadbiran kerajaan ‘Tebuk Atap, terdapat proses pembesaran dan naik taraf di beberapa loji air utama yang sedang dilaksana di Kelantan di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).
“Isu besar yang berlaku di Kelantan adalah masalah sumber air, (serta) pengambilan sumber air bawah tanah lebih daripada 50 peratus dan menyebabkan kos rawatan sangat tinggi.
“Kerajaan telah pun meluluskan peruntukan baharu untuk kita membuat penambahan (dan) pembesaran loji di Kelantan dan pengurangan NRW (kadar air tidak terhasil) yang agak tinggi di Kelantan,” kata Tuan Ibrahim ketika itu.
Baca:
Ibu dedah ada kesan merah di leher, guru lima anak miang luah rasa cinta kepada pelajar sendiri
Elak kena kompaun, jangan buat kesalahan ini menjelang perayaan Aidilfitri
Cuba 6 tips ini untuk bijak berbelanja, nombor 3 tu kalau berlebihan pun duit boleh banyak ‘terbang’