Jamzuri Ardani
Reformasi pertanian mesti bermula dengan reformasi tanah. Malaysia tanahnya subur, iklimnya sesuai untuk pertanian, sungai serta bekalan air agak mewah. Tetapi kenapa kita terpaksa bergantung kepada hasil pertanian yang diimport dari negara luar. Bukan sahaja hasil tanaman, malah juga hasil ternakan dan tangkapan laut. Kalau kita tidak mengimport secukupnya, ramai yang akan kelaparan.
Apa puncanya? Saya melihat cabaran utamanya ialah mengurus isu ‘economy of scale’. Rejim pertanian di negara kita adalah berasaskan aktiviti persendirian oleh para pekebun kecil. Kebanyakan tanah-tanah yang subur diberikan pemilikan individu secara kekal. Seorang pemilik tanah pekebun biasanya memiliki tanah seluas kurang 10 ekar.
Aktiviti pertanian berasaskan pekebun kecil tidak akan mampu bersaing dari sudut kos pengeluaran berbanding aktiviti pertanian secara komersial dan besar-besaran. Harga produk pertanian import akan jadi lebih murah berbanding produk pertanian tempatan. Bila negara-negara jiran dan serantau membuka ladang-ladang pertanian dengan keluasan ratusan ribu hektar atau malah jutaan hektar yang diusahakan secara ‘mass commercial production’ menggunakan teknologi terkini dengan ketepatan input dan hasil yang optimum, kos pengeluaran untuk setiap unit menjadi jauh lebih rendah.
Kita ambil contoh kelapa. Para pekebun kita hanya dapat RM1 ringgit sahaja untuk sebiji kelapa. Itupun mungkin sukar untuk membina kehidupan yang selesa kalau sekadar hanya ada kebun kelapa 3 ekar. Bila sampai di pasaran, harga kelapa bulat keluaran tempatan sudah jadi RM2 sebiji.
Para pengilang santan tempatan boleh membeli kelapa yang sama kualitinya atau mungkin lebih baik lagi dengan harga RM1.20 dari Indonesia atau negara lain.
Pekebun kecil kita tidak akan mampu bersaing dari sudut harga. Bukan sahaja kelapa, malah hampir semua produk pertanian dan penternakan mengalami keadaan yang sama. Kita pula terpaksa hidup dalam dunia pasaran terbuka. Kita tak boleh sekat kemasukan hasil tani import dari negara luar kerana kalau kita berbuat demikian, negara luar juga akan menyekat eksport barangan kita ke negara tersebut. Kita tertakluk dengan pelbagai perjanjian perdagangan antarabangsa yang kita terpaksa akur.
Dalam dunia kapitalis, kegagalan bersaing bermakna kita bakal gulung tikar. Buat sementara, kerajaan mungkin boleh bantu dengan pelbagai insentif dan subsidi. Tapi dari segi jangka panjang, ianya sukar untuk bertahan lama. Suatu hari kelak, pemimpin kerajaan akan terpaksa membuat keputusan yang sukar dan tidak popular.
Siapa yang bakal membuat keputusan tersebut, sama-sama kita akan lihat jika umur kita panjang.