Malaysia terus gesa hentikan keganasan dan ketegangan geopolitik – Anwar

Oleh Admin 06

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas di peringkat antarabangsa supaya keganasan dihentikan segera serta ketegangan geopolitik diredakan melalui pendekatan diplomasi yang berlandaskan undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dunia ketika ini berdepan pelbagai konflik yang semakin meruncing dan situasi tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa usaha penyelesaian yang adil.

Menurut beliau, peperangan yang berlaku di Asia Barat ketika ini bukan sekadar melibatkan angka korban atau kemusnahan fizikal, sebaliknya mencerminkan kecenderungan berbahaya untuk mendominasi wilayah dan pengaruh tanpa mengambil kira aspek kemanusiaan.

“Perang yang melanda Asia Barat hari ini yang dicetuskan oleh rejim Israel dengan sokongan tentera Amerika Syarikat bukan lagi sekadar soal jumlah kematian atau kemusnahan infrastruktur.

“Ia memperlihatkan kecenderungan yang membimbangkan untuk menguasai wilayah dan pengaruh tanpa mempedulikan nilai kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Beliau berkata golongan yang paling terkesan akibat konflik tersebut ialah wanita, kanak-kanak serta masyarakat awam yang terpaksa hidup dalam keadaan ketakutan, kehilangan dan trauma berpanjangan.

Sehubungan itu, Anwar berkata platform wacana ilmiah seperti Forum Ilmuwan Malaysia MADANI memainkan peranan penting dalam menilai cabaran geopolitik global secara lebih adil dan berimbang.

Perdana Menteri turut menyambut baik kehadiran ahli ekonomi dan ilmuwan antarabangsa, Profesor Jeffrey Sachs sebagai pembicara jemputan dalam forum tersebut.

Menurut beliau, Sachs merupakan seorang sarjana yang telah lama memberi tumpuan kepada isu pembangunan, kemiskinan dan susunan tadbir dunia.

Anwar berharap perbincangan intelektual seperti itu dapat terus menggalakkan pemikiran yang berani, adil dan berprinsip dalam usaha mempertahankan rasionaliti serta martabat kemanusiaan sejagat.

Dalam kenyataan berasingan di Facebook, beliau turut menegaskan bahawa kestabilan negara bergantung kepada kekuatan perpaduan rakyat serta kesediaan semua pihak untuk bergerak bersama menghadapi cabaran masa depan.

Beliau berkata lawatannya ke Sabah baru-baru ini memberi peluang untuk bertemu dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin tempatan, penjawat awam, peniaga kecil serta golongan muda.

Menurut Anwar, Sabah memperlihatkan bahawa kekuatan sebenar Malaysia bukan hanya terletak pada sumber alam, tetapi juga pada keharmonian masyarakat yang hidup dalam semangat muafakat dan saling menghormati.

Tambah beliau, Kerajaan MADANI akan terus komited melaksanakan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri tersebut terus terpelihara.