PETALING JAYA: Malaysia mengulangi pendirian tegas untuk terus mendukung mandat Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), selain memohon sokongan semua negara anggota bagi usaha negara merebut semula kerusi Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, ketika menyampaikan kenyataan negara pada Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) di Baku, Azerbaijan, berkata Malaysia akan terus menggerakkan inisiatif bagi memastikan ketersambungan sejagat yang mampu milik dapat dicapai secara inklusif.
Menurutnya, Malaysia akan memperkukuh kerjasama strategik dalam memajukan pembangunan keupayaan digital, meningkatkan kemahiran rakyat serta memperluas ketahanan keselamatan siber dan kepercayaan digital.
“Visi Malaysia adalah jelas – membina masa depan digital yang membolehkan setiap orang kekal berhubung, dilibatkan dan selamat pada setiap masa,” katanya sambil merayu sokongan negara anggota ITU untuk kembali memilih Malaysia ke Majlis ITU.
Fahmi menegaskan bahawa kempen Malaysia berpaksikan keyakinan bahawa masa depan yang adil bermula dengan akses digital yang inklusif dan selamat.
Beliau berkata tema WTDC-25, ‘Universal, Meaningful, and Affordable Connectivity for an Inclusive and Sustainable Digital Future’, seiring dengan visi Malaysia, ‘Inclusivity for Equitable Future’.
Fahmi turut mengetengahkan komitmen Malaysia melalui program Partner2Connect (P2C) yang merangkumi pelbagai inisiatif seperti Pelan Jaringan Digital Negara (Jendela), Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) serta Projek Kitar Semula Peranti ICT Kecil (Kitar), yang memfokus kepada peluasan jalur lebar, pengurangan kos akses dan pembangunan digital lestari.
Beliau berkata pengiktirafan antarabangsa terhadap Jendela dan Nadi sebagai pemenang Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WSIS) membuktikan komitmen negara terhadap keterangkuman digital dan inovasi.
Dalam aspek keselamatan digital pula, Fahmi berkata kepercayaan dalam ruang siber mesti berkembang seiring dengan peluasan akses. Malaysia, katanya, memimpin kerangka serantau melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai penggunaan platform media sosial yang selamat dan bertanggungjawab, diterima pakai di bawah kepengerusian Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Malaysia turut membangunkan Garis Panduan Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN, bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, akauntabiliti dan kerjasama rentas sempadan.
Di peringkat tempatan, Kempen Keselamatan Dalam Talian (KIS) digerakkan bagi mempertingkat kesedaran pengguna terhadap risiko dunia maya termasuk penipuan, buli siber serta eksploitasi kanak-kanak.
Turut hadir di majlis itu ialah Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa MCMC, Annuar Zaini; Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Riza; Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Zulkarnain Yasin; serta Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi di Kementerian Komunikasi, Ahmad Norhad Zahari.