Malaysia Satu-Satunya Negara Tegas Nyata Pendirian Gaza di Hadapan Trump — PM Anwar

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara yang berani menyuarakan pendirian secara terbuka mengenai isu Gaza ketika berhadapan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Menurut beliau, langkah itu membuktikan keberanian Malaysia dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan dan keadilan, dengan menyeru agar penyelesaian menyeluruh dan komprehensif dilaksanakan bagi menamatkan penderitaan rakyat Palestin.

“Soal Gaza ini menuntut penyelesaian menyeluruh. Itu sudah tahap paling maksimum. Negara mana lagi yang berani menegur secara terus di hadapan Presiden Trump? Saya lakukan kerana saya mewakili Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar turut menjelaskan bahawa beliau menegaskan perkara sama bukan hanya sekali, malah tiga kali secara terbuka, selain turut membincangkannya secara peribadi bersama Trump ketika berada dalam kenderaan rasmi Presiden AS itu, ‘The Beast’.

Beliau berkata, penyampaian itu dibuat dengan jelas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan beberapa pertemuan berkaitan bulan lalu, di mana Malaysia menekankan keperluan mendesak untuk semua pihak mencari jalan penyelesaian yang adil dan menyeluruh terhadap konflik berlarutan di Palestin, khususnya di Gaza.

Dalam masa sama, Perdana Menteri mempersoalkan sikap segelintir pihak yang masih memperlekehkan pendirian Malaysia dalam isu Gaza, termasuk dengan menggunakan sentimen agama untuk menyerang kerajaan.

“Saya tidak minta penghargaan, tetapi janganlah maki hamun atas nama agama sedangkan usaha sudah dilaksanakan sebaik mungkin. Cuba lihat, ada atau tidak negara lain yang berani bersuara begitu di hadapan Trump?” katanya dengan nada kesal.

Beliau menegaskan, walaupun Malaysia negara kecil, namun keberanian untuk menyampaikan pandangan secara terus di peringkat tertinggi dunia membuktikan prinsip negara ini tidak mudah digoyahkan dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.

Sebelum ini, seorang Ahli Parlimen pembangkang turut meminta Perdana Menteri agar terus mengingatkan Trump mengenai kekejaman berterusan rejim Israel di Gaza, meskipun selepas pengumuman gencatan senjata dan komitmen penyelesaian menyeluruh dibuat oleh pihak antarabangsa.