KUALA LUMPUR, 8 Apr – Malaysia mengecam keras tindakan seorang menteri daripada Israel yang memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada 7 April lalu.
Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan tersebut sebagai provokasi serius, apatah lagi dilakukan ketika masjid berkenaan ditutup kepada umat Islam.
Menurut kementerian itu, insiden berkenaan merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta mencemari kesucian salah satu daripada tiga tapak paling suci dalam Islam.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini mengancam keamanan dan kestabilan serantau serta menjejaskan hak kebebasan beragama umat Islam di seluruh dunia,” menurut kenyataan tersebut.
Malaysia turut menegaskan bahawa perlindungan dan penghormatan terhadap Masjid Al-Aqsa serta tapak suci lain di Baitulmaqdis adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi di bawah undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa komuniti antarabangsa untuk mengutuk tindakan tersebut dengan tegas serta menuntut agar pihak Israel menghentikan segala bentuk provokasi dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Kenyataan itu turut menekankan keperluan langkah konkrit diambil bagi mengelakkan pelanggaran berulang serta memastikan tapak suci di Baitulmaqdis kekal dilindungi dan boleh diakses oleh semua penganut agama.
Malaysia dalam masa sama menegaskan solidariti berterusan bersama rakyat Palestin serta komitmen untuk mempertahankan warisan agama, budaya dan hak kebangsaan mereka.
Negara ini juga mengulangi pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.