Malaysia kukuh hubungan dua hala tanpa tekanan luar. Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di mata dunia dengan dasar luar yang aman, bebas dan berkecuali — prinsip yang bukan saja mengekalkan keamanan, malah membuka ruang luas untuk kerjasama strategik dan pelaburan antarabangsa.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pendekatan ini membolehkan Malaysia menjalin hubungan dengan mana-mana negara tanpa tekanan atau pengaruh luar, selagi kerjasama itu berpaksikan undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan sejagat.
“Kita boleh berurusan dengan sesiapa pun. Yang penting, mereka menghormati undang-undang antarabangsa dan mengamalkan dasar berperikemanusiaan,” katanya.
Lawatan PM ke Rusia: Hubungan Diplomatik, Bukan Ideologi
Mengulas lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia, Mohamad menegaskan bahawa ia adalah lawatan berlandaskan hubungan persahabatan dan kepentingan perdagangan, bukan kerana menyokong mana-mana ideologi.
- “Hubungan kita dengan Rusia sudah lama wujud. Lawatan ini adalah untuk membuka semula ruang perbincangan, terutama dalam sektor perdagangan dua hala,” jelas beliau ketika ditemui pada sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Sembilan.
Tambah beliau, Malaysia mahu memanfaatkan hubungan diplomatik bagi membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan, yang akhirnya akan membantu memajukan ekonomi negara dan menarik pelabur asing.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46: Persiapan Rapi, Kerjasama Diperkukuh
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut menyentuh tentang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei. Beliau yakin persiapan berada di tahap terbaik, dan menyeru semua pihak termasuk sekolah dan pejabat di sekitar lokasi acara untuk melaksanakan kerja atau pembelajaran dari rumah bagi melancarkan urusan keselamatan dan logistik.
“Kita jangka kehadiran 10 pemimpin negara anggota ASEAN, jadi kerjasama semua pihak sangat penting untuk kelancaran pergerakan dan keselamatan,” ujarnya.
Sidang ini bakal menjadi platform penting bagi membincangkan isu serantau, memperkukuh kerjasama ekonomi, serta memperjuangkan nilai keterangkuman dan pembangunan mampan dalam kalangan negara anggota.
BACA JUGA :
Siapa sangka Malaysia ‘bagi duit’ kepada Indonesia cecah RM5 bilion
DBKL berdepan masalah besar, tunggakan sewa PPR DBKL cecah 70 juta