Malaysia kuasa baru ekonomi Asia

Oleh ADINDA

Wan Anwar Wan Ibrahim

Saya terpanggil untuk membuat coretan ringkas mengenai kedudukan dan masa depan ekonomi Malaysia memandangkan ekonomi adalah minat saya selepas politik dan undang-undang.

Malaysia jika mengikut kajian yang dibuat dalam tempoh 10 bulan yang lalu adalah diletakkan sebagai 5 kuasa baru ekonomi Asia selepas India, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Malaysia juga dikatakan negara ke-4 (sebelum ini ke-3) ekonomi terbesar Asia Tenggara.

Pemangkin utama ekonomi Malaysia adalah pembuatan dan perkhidmatan selain daripada pertanian, pelancongan dan komoditi (petroleum, kelapa sawit dan getah).

Kedudukan strategik Malaysia yang terletak antara Thailand dan Singapura juga sesuai menjadikan Malaysia sebagai hub ekonomi serantau.

Tahun 2018 Malaysia di kedudukan pertama sebagai ekonomi paling inklusif antara ekonomi membangun Asia lain.

Tetapi masalahnya adalah Malaysia masih tidak mampu bergerak daripada negara berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi sejak sekian lama walaupun pernah menikmati satu tempoh kemakmuran ekonomi yang agak lama.

Saya masih percaya bahawa fundamental ekonomi Malaysia masih kekal kukuh walaupun kita diserang oleh pandemik terburuk abad ke-21 ini. Tetapi saya ingin mengusulkan perkara-perkara berikut.

Peruntukan belanjawan harus ditingkatkan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (RND) terutama sekali dalam sektor kerajaan kerana ini merupakan antara bidang terpenting sebagai pemangkin kepada pemacuan ekonomi dan ini juga telah kerap kali ditekankan oleh Akademi Sains Malaysia.

Tumpuan juga harus diberikan kepada melahirkan modal insan yang lebih terlatih melalui institusi pendidikan sedari daripada sekolah sehingga IPT. Ini adalah fokus Korea Selatan sewaktu membangunkan kembali negara mereka selepas hancur dek Perang Korea 1950.

Elakkan “brain drain” daripada terus berlaku dan panggil semula diaspora Malaysia di luar negara untuk pulang dan menyumbang kembali kepada negara. Ini juga dilaksanakan semula oleh Turki sejak perubahan kerajaan pada tahun 2002.

Penstrukturan semula industri identikal negara termasuk Petronas, Felda, Tabung Haji, Proton, Perodua dan MAS selain daripada mewujudkan industri identikal negara yang baru. Panggil semula kapten industri tempatan untuk kembali menerajui industri tersebut dan tidak perlu bergantung kepada tenaga asing. Model Norway, Sweden dan Jepun boleh dikaji.

Peluasan pelaksanaan konsep wakaf terutama sekali dalam perkara melibatkan pembangunan infrastruktur fizikal. Sebelum itu, undang-undang berkenaan wakaf juga sewajarnya dikembangkan sebagai suatu akta yang khusus. Mesir juga boleh dijadikan contoh kes.

Masjid Al-Azhar, Mesir. Universiti Al-Azhar contoh kejayaan sistem wakaf yang dilaksanakan di Mesir dan negara itu mempunyai Kementerian Wakaf khusus untuk mengurus tadbir hal berkaitan wakaf disana.

Institusi koperasi juga boleh diperkasakan sebagai antara penyumbang besar kepada ekonomi negara sepertimana Mondragon Corporation yang difahamkan adalah penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Sepanyol.

Setakat ini dahulu untuk kali ini. Ini bukan pandangan ahli ekonomi tetapi peguam yang meminati ekonomi.

Apapun dengan kerencaman (“diversity”) pelbagai sudut yang diwarisi oleh negara, saya amat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu untuk bangkit kembali.

Sebab itulah penganalisis menyebutkan bahawa walaupun masih terperangkap dengan kemelut perangkap pendapatan, tetapi Malaysia masih mampu untuk membuat beberapa pencapaian yang penting dalam aspek kemajuan ekonomi.

Malaysia, kuasa baru ekonomi Asia.

 

Wan Anwar Wan Ibrahim merupakan seorang peguam dan juga Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor