Malaysia kekal bersedia hantar pasukan pengaman ke Gaza – Adly

Oleh Ahmad Fahmi

KUALA LUMPUR, 29 Okt — Malaysia sekali lagi menegaskan kesediaan untuk menghantar satu batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Gaza bagi menyertai pasukan pengaman, sekiranya menerima mandat rasmi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata komitmen itu selaras dengan pendirian tegas kerajaan MADANI dalam menyokong usaha menamatkan keganasan dan memulihkan keamanan di wilayah berkonflik tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa hasrat Malaysia itu turut disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.

“Pihak Kementerian Pertahanan sudah pun bersedia menyediakan satu batalion untuk pasukan pengaman di Gaza. Kini, ia tertakluk kepada keputusan dan mandat PBB,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Adly berkata, komitmen Malaysia juga telah dimaklumkan kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sebagai sebahagian daripada peranan aktif negara dalam menyokong keamanan global.

“Malaysia sememangnya berpendirian untuk mempromosikan keamanan sejagat. Melalui Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini, Perdana Menteri turut menegaskan pendirian itu secara jelas kepada Setiausaha Agung PBB,” katanya.

Beliau menegaskan, penyertaan dalam misi pengaman antarabangsa merupakan bukti kesungguhan kerajaan MADANI dan Kementerian Pertahanan dalam memastikan kestabilan serta keselamatan sejagat terus terpelihara.

“Komitmen kita terhadap misi pengaman antarabangsa adalah satu dasar yang konsisten dan jelas — demi memastikan keamanan dapat dikekalkan di peringkat global,” ujar beliau.

Adly berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN–Tanah Merah) yang meminta penjelasan mengenai peluang ATM menyertai pasukan pengaman PBB di Gaza dan jangka masa Majlis Keselamatan PBB membuat keputusan berhubung perkara itu.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan berkaitan aset ATM selepas tamatnya misi Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan, Adly memaklumkan bahawa pihak kementerian akan menilai aset yang dikategorikan sebagai strategik untuk dibawa pulang ke tanah air.

Beliau turut menjelaskan terdapat cadangan daripada Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) supaya sebahagian aset, khususnya berkaitan kemudahan kesihatan, dikekalkan bagi membantu Angkatan Tentera Lubnan dan pihak berkuasa tempatan.

“Bagi aset strategik, kita akan pastikan ia dibawa pulang ke negara selepas misi tamat,” katanya.