Malaysia Jemput Trump? Ini penjelasan Menteri.

Oleh Ahmad Fahmi

SEPANG: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan bukanlah atas inisiatif Malaysia secara khusus, sebaliknya merupakan jemputan rasmi atas kapasiti ASEAN selaku penganjur.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, sidang kemuncak itu memberi ruang penting bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga negara Asia lain, berinteraksi dengan Trump serta pemimpin dunia lain yang dijangka hadir.

“Jemputan dibuat bagi pihak ASEAN, iaitu 10 negara anggota bersama rakan dialog. Bagi Malaysia, ini peluang besar untuk Perdana Menteri menyatakan secara terbuka pendirian kita kepada Presiden Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media selepas meninjau Sumud Nusantara Command Center (SNCC) hari ini.

Beliau menambah, isu Palestin antara perkara yang bakal diketengahkan, selaras dengan usaha Malaysia sebelum ini yang pernah berbincang dengan pihak Jumur berhubung pembangunan semula Gaza.

“Lebih signifikan pada waktu ini kerana banyak negara sudah mengiktiraf kewujudan negara Palestin. Inilah masanya Malaysia menyatakan bukan sahaja pendirian kita, tetapi juga kesediaan untuk terlibat dalam usaha membangunkan semula Palestin,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa Malaysia akan menggunakan platform diplomasi ASEAN untuk terus menyuarakan isu Gaza dan Palestin.

Menurutnya, meskipun Malaysia bukan kuasa besar, suara tegas yang konsisten dalam mempertahankan keadilan dan kebebasan bersuara menjadikan negara ini tetap dihormati di pentas antarabangsa.

“Malaysia perlu bijak berunding dengan pendekatan strategik, namun tetap berani mempertahankan kebenaran,” kata Perdana Menteri.