Malaysia gesa keganasan di Sudan dihentikan segera – Anwar

Oleh FATIN AQILAH

PUTRAJAYA — Malaysia menggesa agar semua bentuk keganasan di Sudan dihentikan serta-merta, susulan krisis kemanusiaan yang semakin memburuk di wilayah El Fasher dan seluruh Darfur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa situasi di Sudan kini merupakan bencana kemanusiaan besar yang menuntut tindakan segera masyarakat antarabangsa.

“Saya amat bimbang dengan tragedi yang sedang berlaku di El Fasher dan seluruh Darfur, Sudan. Apa yang kita saksikan ialah satu bencana kemanusiaan — pembunuhan beramai-ramai, kebuluran serta perpindahan besar-besaran yang menggoncang nurani kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Isnin.

Anwar menegaskan bahawa laporan mengenai kekejaman terhadap orang awam, termasuk yang boleh dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan atau genosid, sama sekali tidak boleh diterima.

Beliau menekankan supaya keselamatan orang awam dilindungi sepenuhnya sejajar dengan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menyeru masyarakat antarabangsa bertindak tegas bagi mengelak penderitaan berterusan, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong proses ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban,” ujarnya.

Keganasan di El Fasher, ibu negeri Darfur Utara, kini dianggap antara tragedi paling dahsyat di Sudan sejak perang saudara tercetus pada 2023.

Pasukan Rapid Support Forces (RSF) dilapor menawan bandar itu selepas pertempuran sengit dengan tentera kerajaan, menyebabkan ribuan terkorban dan puluhan ribu penduduk melarikan diri.

Saksi mendakwa berlakunya pembunuhan beramai-ramai, termasuk ke atas wanita dan kanak-kanak, serta kemusnahan hospital, sekolah dan kem pelarian.

Laporan Al Jazeera dan Human Rights Watch turut mendedahkan siri kekejaman termasuk serangan ke atas rumah penduduk, penculikan serta rogol beramai-ramai, dengan kumpulan bersenjata didakwa menyasarkan etnik Zaghawa yang dianggap menyokong tentera kerajaan.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan antarabangsa bahawa tindakan tersebut boleh disifatkan sebagai jenayah perang atau genosid.