Realtime website trackingweb stats

Malaysia diceroboh perisik Israel, Kementerian Pertahanan masih membisu

Oleh ADINDA

Pesawat dengan nombor pendaftaran 4X-AOO itu berlepas dari Israel pada 18 Mei lalu dan tiga hari kemudian selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Singapura di Paya Lebar.

Terdahulu, ia dilaporkan tiba di utara Selat Melaka pukul 6 pagi 20 Mei lalu sebelum terbang melalui ruang udara Kuala Lumpur dan Putrajaya pada ketinggian 8,888 meter dari paras laut.

Laman jejak pesawat terkenal antarabangsa, FlightRadar 24 melaporkan, pesawat canggih itu yang dalam misi penerbangan ujian, namun, tiba-tiba hilang di Melaka pada pukul 11.30 pagi.

Kehadiran pesawat Israel itu turut mengundang tanda tanya kerana berlaku sehari sebelum gencatan senjata diumumkan rejim zionis selepas konflik berdarah di Palestin selama 15 hari.

Menurut Air Times, pesawat ini digunakan sebagai platform ujian peralatan radar dan elektronik. Ianya direka untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan mairitim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersil.

Pesawat ini juga pernah digunakan bagi mengesan dan menjejak kapal yang menyeludup senjata ke Palestin.

Seminggu sudah berlalu selepas pesawat prototaip pengintip milik Israel ini dilaporkan merentas ruang udara Malaysia dalam perjalanan dari Tel Aviv ke Singapura. Bekas Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong bersama Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan menuntut kerajaan tampil segera menjelaskan maklumat terkini mengenai laporan tersebut. Bagaimana pesawat Israel itu diberi kebenaran untuk melalui ruang udara Kuala Lumpur?

Menurut Jawatankuasa Keselamatan PH juga, pesawat ini dilengkapi pelbagai jenis peranti bagi memantau dan mengesan isyarat elektromagnetik, meninjau kapal-kapal di permukaan air, dan mengesan isyarat pesawat di udara. Jelas bahawa pesawat ini berpotensi menjadi ancaman besar sekiranya tentera Israel berupaya mengesan dan merekod maklumat elektronik sensitif pertahanan negara.

Walaupun begitu, JK Keselamatan PH yakin akan keupayaan peperangan elektronik tempatan di bawah Bahagian Siber Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengatasi apa-apa jenis pencerobohan siber dan serangan elektronik. BSEP baru sahaja ditubuhkan pada Disember tahun lepas dengan menggunakan kekuatan sedia ada daripada Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan (KOMLEK) Markas Angkatan Tentera (Mk ATM).

Menurut tinjauan Utusan Malaysia, akaun sosial rasmi ATM dan TUDM habis dikutuk warganet yang kecewa dengan kelemahan yang dianggap cukup memalukan itu.

Malah, mereka menjadikan setiap hantaran status di laman media sosial ATM dan TUDM termasuk ucapan Hari Wesak sebagai wadah melepaskan geram dengan puluhan komen bernada kesal berhubung insiden berkenaan

“ATM jangan membisu hal kapal terbang Israel menceroboh ruang udara dan kedaulatan negara….jangan sampai rakyat hilang respekk,” keluh seorang netizen dengan nama Putri Zalika.

Seorang netizen bernama Que Haizir juga menuntut beberapa penjelasan daripada pihak ATM, “assalamualaikum… bole jelaskan isu sekarang…

1) KAPAL TERBANG ISRAEL LAKNAT BERADA DI RUANG UDARA MALAYSIA
2)ISU SEPERTI TIADA APA2
3)TIADA YG BERSUARA MELAINKAN DARI SUMBER2 LAIN BERI INFO
4)MENTERI CAM XTAHU APA2
5)HARAP ADA PENJELASAN TAKUT RAMAI NNTI BUAT ANDAIAN SENDIRI SEBB ATM/TUDM BERDIAM DIRI”

“Boleh jelaskan kenapa kapal terbang Israel itu bebas meronda. Macam pelik. Kenapa semua orang komen tapi TUDM tidak balas?” tanya netizen bernama sebagai Nur Suraya pula.