Malaysia mencatat pencapaian luar biasa apabila jumlah perdagangan negara pada 2025 melepasi paras RM3 trilion buat pertama kali, mencerminkan ketahanan ekonomi yang kukuh dalam persekitaran global mencabar.
Prestasi keseluruhan turut disokong oleh sektor perkhidmatan yang kembali merekodkan lebihan dagangan selepas lebih sedekad berdepan defisit sejak 2011, sekali gus menandakan kemajuan dalam transformasi ke arah ekonomi berasaskan perkhidmatan bernilai tinggi.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) memaklumkan lebihan dagangan perkhidmatan berjumlah RM1.15 bilion dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam perkhidmatan perjalanan dan perkilangan.
Menurut Matrade, nilai perdagangan perkhidmatan juga mencipta rekod baharu apabila melepasi RM500 bilion dengan jumlah RM543.01 bilion, meningkat 9.2 peratus berbanding 2024.
Eksport perkhidmatan meningkat kepada RM272.08 bilion, naik 12 peratus, mengatasi import yang berkembang 6.4 peratus kepada RM270.93 bilion.
Keseimbangan antara eksport dan import itu menyumbang kepada lebihan perdagangan keseluruhan sebanyak RM1.15 bilion.
Pertumbuhan eksport perkhidmatan didorong oleh lonjakan aktiviti perjalanan selain peningkatan dalam perkhidmatan perniagaan lain, telekomunikasi, komputer dan maklumat, pengangkutan serta penyelenggaraan dan pembaikan.
Perkhidmatan perjalanan berkembang 16 peratus kepada RM110.59 bilion, disokong oleh 42.2 juta ketibaan antarabangsa yang merupakan paras tertinggi berbanding tahun sebelumnya.
Segmen telekomunikasi, komputer dan maklumat pula melonjak 27.1 peratus kepada RM27.13 bilion, sejajar perkembangan pesat ekosistem pusat data negara.
Perkhidmatan perniagaan lain mencatat kenaikan 14.1 peratus kepada RM48.66 bilion, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan profesional, pengurusan dan perundingan.
Dalam tempoh sama, perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan meningkat 34.2 peratus kepada RM7.67 bilion, menunjukkan pengukuhan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau dan global.
Matrade menjelaskan pelaksanaan misi perdagangan berimpak tinggi serta Program Sumber Antarabangsa (INSP) membantu memperluas capaian global syarikat perkhidmatan tempatan.
Usaha strategik bersama industri untuk memposisikan Malaysia sebagai hab utama perkhidmatan digital, pusat data dan profesional bernilai tinggi turut menyumbang kepada perkembangan ini.
Pengerusi Matrade, Reezal Merican Naina Merican, menyifatkan prestasi perdagangan perkhidmatan 2025 sebagai detik penting dalam agenda transformasi ekonomi negara.
Beliau berkata, pencapaian lebihan dagangan perkhidmatan pertama dalam tempoh 14 tahun membuktikan keberkesanan peralihan strategik ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Abu Bakar Yusof, pula menegaskan pencapaian itu turut mencerminkan impak inisiatif promosi eksport sasaran melalui penyertaan dalam ekspo antarabangsa utama.
Tambahnya, semua program perdagangan perkhidmatan diselaraskan dengan sektor bernilai tinggi yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030) bagi memastikan sektor tersebut kekal sebagai pemacu kemakmuran negara.