Malaysia berada pada kedudukan kukuh hadapi kesan konflik Asia Barat

Oleh Admin 06

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi sebarang kesan ekonomi susulan konflik yang berlaku di Asia Barat, termasuk ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, status Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga memberi kelebihan kepada negara dalam berdepan sebarang lonjakan harga minyak mentah yang mungkin berlaku akibat perkembangan geopolitik semasa.

Menurut beliau, faktor tersebut turut bertindak sebagai penampan kepada ekonomi negara sekiranya berlaku ketidaktentuan dalam pasaran minyak global.

“Secara asasnya, penting untuk kita mengiktiraf bahawa Malaysia merupakan pengeksport bersih tenaga. Berdasarkan kedudukan itu, kita mempunyai beberapa manfaat positif yang membolehkan negara berdepan dan keluar daripada cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP) di Kuala Lumpur hari ini.

Pelan tersebut telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata kerajaan bagaimanapun terus memantau perkembangan semasa dan kekal berwaspada terhadap kesan domestik yang mungkin timbul akibat kenaikan harga tenaga.

Katanya, antara aspek yang diberi perhatian termasuk kemungkinan peningkatan kos sara hidup rakyat sekiranya harga tenaga meningkat secara mendadak.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan kerajaan telah mengambil langkah lebih awal bagi menguruskan potensi kesan tersebut melalui pelaksanaan beberapa dasar termasuk pendekatan subsidi bersasar sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, pendekatan berkenaan membantu sistem ekonomi menyesuaikan diri secara beransur-ansur dengan perubahan kos, selain memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan dalam jangka panjang.