Makanan yang tular seperti kurma yang dicampur dengan mentega dikhuatiri boleh memberi lebih banyak bahaya daripada manfaat kepada kesihatan badan kita.
Ini adalah kerana mentega mengandungi lemak tepu dan kalori yang tinggi, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Satu biji kurma campur mentega bersamaan dengan satu senduk nasi. Nak makan tiada masalah, untuk pengambilan kerap dan banyak tidak baik untuk kesihatan,” katanya di Facebook.
Makanan itu menjadi viral kerana perkongsian bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui media sosial Maktabah Al-Bakri.
Dia menyatakan bahawa kurma kering dengan mentega adalah makanan kegemaran Rasulullah SAW.
Menyambung daripada itu, pakar pemakanan, Nur Aiman Taslim menyatakan bahawa kurma yang dicampur dengan mentega boleh dimakan semasa sahur, tetapi tidak digalakkan untuk dimakan secara berlebihan.
Nur Aiman menjelaskan bahawa mencukupi untuk makan tiga hingga empat biji kurma dengan satu sudu teh kecil (mentega) untuk setiap biji kurma yang dimakan.
“Ia akan bekalkan sebanyak 224 kalori dengan pecahan anggaran 70 hingga 80 kalori untuk empat biji kurma dan 110 hingga 145 kalori untuk empat sudu teh mentega.”
“Namun begitu, pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan aras kolesterol jahat meningkat dan secara tidak langsung meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular,” jelasnya.
Nur Aiman berkata, jika anda mahu makan sesuatu yang mudah dan kaya dengan kalori semasa bersahur untuk berpuasa, tidak ada masalah untuk makan kurma dengan sedikit mentega.
“Namun, ketika berbuka puasa, memadai memakan buah kurma sahaja tanpa perlu ada mentega memandangkan lauk-lauk dan juadah lain sudah mengandungi sumber kalori yang cukup,” ujarnya.
Baca:
JAWI tegas pertahan tangkapan khalwat Aliff Aziz & Ruhainies bukan gimik promosi selebriti
Selamanya akan digelar penyondol, Zarina Zainuddin nasihat jangan nikahi suami orang
Ulat ‘bersarang’ dalam kurma, pelangga persoal kualiti kebersihan syarikat pengeluar