Ketika ini, beberapa negeri terutama di Pantai Timur dan utara tanah air sedang dilanda banjir akibat musim tengkujuh.
Bagi umat Islam, dalam menghadapi situasi sukar seperti ini, kebergantungan kepada Allah perlu terus diperkukuhkan, selain mematuhi arahan pihak berkuasa.
Walau bagaimanapun, bencana ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan kewajipan solat.
Memandangkan banyak persoalan timbul dalam kalangan mangsa banjir mengenai hukum solat,
pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar, tampil menjelaskan lima persoalan utama yang sering diperdebatkan:
1) Adakah sah berwuduk dengan air banjir?
Ya, sah, kerana air banjir biasanya berasal daripada air sungai dan air hujan, kedua-duanya dikategorikan sebagai air mutlak yang boleh digunakan untuk berwuduk.
2) Adakah sah solat memakai pakaian terkena air banjir dan lumpur?
Sah, selagi pakaian tersebut tidak menunjukkan tanda jelas ia telah terkena najis.
3) Bolehkah solat jamak dilakukan ketika banjir?
Mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Imam Al-Syafie, solat jamak tidak dibenarkan. Namun, jika terdapat kesulitan atau keperluan mendesak seperti menyelamatkan nyawa, ia dibolehkan berdasarkan pandangan sebahagian ulama seperti al-Nawawi.
4) Adakah wajib menunaikan solat Jumaat ketika banjir?
– Wajib, jika tempat penempatan mangsa banjir memenuhi syarat cukup 40 orang yang diwajibkan solat Jumaat.
– Tidak wajib, jika terkandas di rumah akibat banjir.
5) Apakah hukumnya solat di dalam air?
– Sah, dan rukuk serta sujud wajib dilakukan seperti biasa jika air tidak terlalu tinggi.
– Jika paras air tinggi dan menyukarkan, sebahagian ulama membolehkan solat dilakukan dengan isyarat, seperti menundukkan kepala lebih rendah untuk sujud tanpa menyentuh air.
Dalam menghadapi bencana, kesabaran dan keutamaan dalam melaksanakan tanggungjawab agama adalah satu ujian yang membawa keberkatan jika dilalui dengan penuh keimanan.
BACA: Umrah DIY lagi senang, lebih privasi dan fleksibel dengan guna satu app ni sajhaja