Lonjakan CPI bukti ketegasan Kerajaan Madani bendung rasuah, tegas PM

Oleh Ahmad Fahmi

Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani dalam membanteras rasuah secara menyeluruh serta memperbaiki kelemahan sistem tadbir urus negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, lonjakan Malaysia ke tangga ke-54 dunia dalam CPI adalah hasil daripada tindakan penguatkuasaan berterusan oleh agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut Anwar, usaha bersepadu itu turut membawa kepada kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui penyitaan aset, pengesanan dana serta penumpasan sindiket rasuah dan ketirisan yang sekian lama membebankan kewangan awam.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menzahirkan kesyukuran terhadap pencapaian tersebut sambil menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi apabila integriti institusi strategik negara dipersoalkan.

Perdana menteri turut menegaskan bahawa tindakan tegas terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan, termasuk dalam sektor pertahanan serta pembongkaran kartel dan kes rasuah berprofil tinggi, membuktikan prinsip bahawa setiap individu tertakluk kepada undang-undang tanpa pengecualian.

Anwar berkata, peningkatan CPI itu juga menjadi peringatan kepada semua pihak untuk terus menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani demi mengembalikan keyakinan rakyat serta mempertahankan amanah negara.

Berdasarkan laporan CPI 2025 yang diterbitkan Transparency International (TI) hari ini, Malaysia mencatat peningkatan kedudukan daripada tempat ke-57 pada 2024 kepada ke-54, sekali gus meletakkan negara di kedudukan ketiga terbaik dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura dan Brunei.

Laporan sama turut menunjukkan skor Malaysia meningkat kepada 52 mata berbanding 50 mata pada penilaian tahun sebelumnya, mencerminkan trend peningkatan yang sederhana namun positif.