“Ambo tak malu kutip sampah. Ambo cari rezeki halal, tidak mencuri dan tidak meminta-minta,” demikian prinsip seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan fizikal (sawan) yang menyediakan khidmat memungut sampah sebagai sumber pendapatannya.
Gambar: Wan Ahmad Nabil Wan Abdul Wahid, 30, dari Kampung Kutan Sungai, Wakaf Bharu, dekat sini.
Selain meneruskan kelangsungan hidup berikutan terkesan pandemik Covid-19, kerjanya itu dibuat demi membalas jasa serta pengorbanan ibu, Rohana Ngoh, 55, dan bapanya, Wan Abdul Wahid Wan Mamat, 65.
Anak kelima daripada 14 beradik itu menawarkan perkhidmatan memungut sampah dari rumah dan kedai sejak Oktober tahun lalu dan kini ada lebih 40 pelanggan tetap setiap bulan.
Wan Ahmad Nabil yang bekerja sebagai tukang urut sebelum ini berkata, ikhtiar memungut sampah itu tercetus kerana tiada perkhidmatan berkenaan disediakan di kawasan kejiranannya dan dia menjadikannya peluang mencuba nasib.
“Pada awalnya, saya mohon troli (motosikal roda tiga) dengan Tok Penghulu untuk menjual air, tetapi memikirkan kita masih dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pasti kurang pelanggan, jadi saya ubah keputusan untuk kutip sampah.”
“Alhamdulillah, tak sangka ramai perlukan khidmat ini, malah pelanggan semakin bertambah selepas hantaran saya di Facebook mendapat banyak perkongsian,” katanya, semalam.
Gambar: menunjukkan beliau menggunakan motosikal beroda tiga serta troli sebagai ‘lori sampah’, pemuda itu memulakan pencarian nafkah seawal jam 8 pagi dan selesai jam 2 petang selepas memungut sampah di setiap rumah dan kedai di kawasan sekitar Kampung Baru, Taman SBJ Putra dan Kota Kubang Labu di Pasir Pekan.
“Saya pungut sampah di rumah atau kedai pelanggan dan buang di tempat pembuangan berdekatan. Saya bekerja selang sehari,” katanya.
Wan Ahmad Nabil berkata, caj perkhimatan memungut sampah secara bulanan dikenakan bergantung kepada jarak perjalanan dari rumahnya ke lokasi pelanggan dengan caj serendah RM30 bagi sebuah rumah dan RM50 bagi premis kedai.
“Paling jauh saya pernah pungut sampah ialah jaraknya hampir enam kilometer dari rumah dan caj dikenakan antara RM40 dan hingga RM50,” kata pemegang kad OKU itu yang turut menerima bantuan RM450 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, pelanggan, Nafisah Ahmad, 72, berkata, perkhidmatan pungutan sampah itu amat memuaskan kerana tidak perlu menunggu empat atau lima hari untuk lori sampah lalu di kawasan rumahnya.
“Mak cik guna khidmat pungutan sampah disediakan Wan Ahmad Nabil ini sejak sebulan lepas. Bagus ada orang sanggup buat kerja sebegini, selang sehari dia datang pungut sampah jadi menyenangkan mak cik,” katanya yang tinggal dekat Kampung Pasir Pekan Hilir.
Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
Email NextStepMalaysia: [email protected]