Realtime website trackingweb stats

Lelaki di Kajang sanggup habis duit bela 6 buaya di halaman rumah, terpengaruh The Crocodile Hunter katanya

Oleh ADINDA

Lelaki di Kajang sanggup habis duit bela 6 buaya di halaman rumah, terpengaruh The Crocodile Hunter katanya.

Memiliki buaya sebagai hobi ialah perkara yang kurang didengari dalam sebilangan besar masyarakat negara ini kerana menganggap reptilia itu dikategorikan berbahaya dan ganas serta sukar dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Namun, berbeza dengan sebuah keluarga dari Kajang, Selangor yang membela enam ekor buaya jenis “Smooth-fronted Caiman” atau nama saintifiknya Paleosuchus trigonatus sejak 2018 di halaman rumah mereka.

Pemilik buaya itu, Khairul Johari Mohd Denie, 38, berkata beliau membeli keenam-enam ekor buaya yang habitat asalnya dari Amerika Utara daripada seorang peniaga berlesen dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ketika haiwan itu berusia setahun dengan anggaran saiz 20 sentimeter (cm) panjang.

Katanya, kesemua buaya itu sudah mencapai usia tujuh tahun (pramatang) dan dianggarkan 160 cm panjang dengan berat sekitar 15 hingga 20 kilogram (kg) ditempatkan di sebuah kolam khas yang dibina sendiri oleh beliau di halaman rumahnya.

Khairul Johari berkata minat mendalamnya tercetus kerana sejak kecil lagi beliau sering dibawa ibu bapanya berkunjung ke taman buaya dan zoo selain terpengaruh dengan aktivis haiwan dan penjaga zoo Australia, mendiang Steve Irwin yang sangat mencintai buaya.

“Dulu ada rancangan popular, The Crocodile Hunter yang dihoskan Irwin. Beliau telah berjaya memukau jutaan penonton melalui dedikasinya terhadap pemeliharaan haiwan liar sekali gus memberikan inspirasi kepada orang ramai di seluruh dunia termasuk saya.

Lelaki di Kajang sanggup habis duit bela 6 buaya di halaman rumah, terpengaruh The Crocodile Hunter katanya. Memiliki buaya sebagai hobi ialah perkara yang kurang didengari dalam sebilangan besar masyarakat negara ini kerana menganggap reptilia itu dikategorikan berbahaya dan ganas serta sukar dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

“Jadi, saya memilih untuk membela secara sah buaya Smooth-fronted Caiman yang dikategorikan sebagai buaya kerdil, tidak agresif, haiwan jenis mangsa dan sejarahnya tidak pernah mencederakan apatah lagi menggigit atau memakan manusia,” katanya.

Khairul Johari yang juga seorang pengajar usahawan turut berkongsi minatnya itu melalui video dalam TikTok, sehinggakan ramai yang teruja dan ingin tahu sifat reptilia yang jarang dijadikan sebagai hobi haiwan peliharaan itu.

Daripada aspek pemakanan buaya pula, bapa kepada tiga anak itu memaklumkan beliau tidak mengeluarkan kos yang banyak kerana mempunyai alternatif lain sebagai sumber makanan kepada buaya itu.

“Sebagai contoh, selain ikan keli hidup, saya juga memberi buaya makan bahagian ayam yang tidak dimakan dan dijual dari kedai runcit berdekatan rumah seperti kepala, kaki dan hati ayam. Ia tinggi dengan protein dan kalsium untuk diet buaya.

“Malah, memberi makanan kepada buaya peliharaan saya tidaklah kerap, cukuplah sekali atau dua kali seminggu,” katanya dan turut menambah buaya sukakan habitat air yang keruh, tidak berarus dan pencahayaan matahari.

Berkongsi sifat buaya yang dipelihara itu pula, Khairul Johari berkata beliau dan keluarga boleh bermain-main dengan reptilia itu seperti memandikan atau memeluk kerana telah jinak dan dibesarkan bersama sejak dari kecil lagi.

“Sekalipun buaya Smooth-fronted Caiman rasa terancam, haiwan itu akan memberi amaran dengan cara berdengus ataupun paling tidak akan melibas ekornya … dan tidak pernah pun haiwan ini menyerang saya,” katanya.

Lelaki di Kajang sanggup habis duit bela 6 buaya di halaman rumah, terpengaruh The Crocodile Hunter katanya
Buaya Smooth-fronted Caiman

Selain buaya Smooth-fronted Caiman, Khairul Johari turut memelihara beberapa haiwan eksotik dan liar yang dilindungi antaranya 22 ekor itik belibis, 22 ekor burung tiong emas, dua ekor burung merpati Victoria Crowned Pigeon, sepasang burung Siamese fireback dan ikan kerapu kertang.

Ditanya pula reaksi jiran-jirannya kerana beliau memelihara kesemua haiwan itu di halaman kecil rumah jenis Semi-D atau berkembar, Khairul Johari berkata kesemua haiwan ini tidak dilepas dari luar kawasan rumah kerana ia satu kesalahan dan hanya burung tiong emas dilepaskan untuk terbang sebelum kembali pulang bila senja.

“Haiwan ini tidak mengganggu jiran, sebaliknya mereka seronok dapat membawa anak-anak datang ke rumah saya melihat dan kadang-kadang ada yang membantu memberi makan dan membersihkan kolam atau kandang burung,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Khairul Johari berhasrat untuk membuka sebuah zoo mini secara percuma di Kuala Kangsar, Perak bagi memberikan peluang kepada orang ramai yang tidak berkemampuan untuk mengenali lebih dekat pelbagai spesies haiwan yang unik itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata hanya ada tiga individu termasuk Khairul Johari yang mempunyai lesen sah menyimpan buaya berkenaan di Semenanjung.

Beliau berkata berdasarkan data jabatan, sejumlah 53 ekor buaya spesies sama diimport masuk sejak 2010 untuk tujuan komersial termasuk yang dipamerkan di zoo.

“Amnya, sesiapa yang berminat untuk memelihara spesies hidupan liar yang dilindungi dibenarkan, asalkan mengikut peraturan dengan memohon lesen atau permit daripada Perhilitan serta memastikan sumber (membeli) haiwan itu hendaklah daripada sumber yang sah,” katanya.

Baca:

Rupanya ada ‘mangsa’ terselamat dari nahas pesawat di Elmina, cuma terkoyak 14cm dan terkehel kaki

Tular gambar model sedan baharu Produa, dah macam kereta perdana versi ‘lowered’

Isteri ketawa mengilai gelakkan suami akhirnya dapat hukuman ‘cash’, lelaki ini kongsi kisah menghiburkan