KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2025:
Lebih setengah juta kandungan dalam talian telah diturunkan sejak Januari 2022 hingga Ogos tahun ini kerana melanggar undang-undang dan garis panduan platform digital, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Menurutnya, tindakan itu melibatkan 321,012 kandungan perjudian, 119,273 penipuan siber, 43,585 kandungan jelik, 35,420 kes buli atau gangguan seksual, serta 38,818 kandungan palsu.
“Kesemua kandungan berkenaan diturunkan atas permintaan MCMC, berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), undang-undang lain serta peraturan komuniti platform,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Teo turut memaklumkan MCMC bekerjasama rapat dengan PDRM, KPDN dan Bank Negara Malaysia bagi memperkukuh pemantauan kandungan berbahaya serta menjalankan analisis forensik digital membantu siasatan pihak berkuasa.
Selain itu, beliau menjelaskan MCMC telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti portal dan Chatbot Sebenarnya.my (AIFA) untuk semakan fakta serta melaksanakan pelesenan baharu ASP(C) bagi penyedia platform media sosial mulai 1 Januari 2025.
“MCMC juga mengeluarkan Kod Tatalaku untuk penyedia perkhidmatan bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan berbahaya,” katanya.
Teo menambah, walaupun penguatkuasaan dipertingkat, penyedia platform masih perlu memikul tanggungjawab segera menurunkan kandungan penipuan dan buli tanpa menunggu arahan rasmi.