Lebih 300 permohonan lesen mendulang emas diterima di Kelantan

Oleh AHMAD ISMAIL

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan merekodkan penerimaan lebih 300 permohonan lesen mendulang emas daripada orang awam sejak pelaksanaan inisiatif itu bermula awal tahun ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, permohonan diterima melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan serta Pejabat Tanah Jajahan di seluruh negeri.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 320 permohonan telah direkodkan dan proses permohonan masih dibuka secara berterusan.

Katanya, keputusan berkaitan tarikh mula aktiviti mendulang serta kawasan yang dibenarkan akan dimuktamadkan selepas perbincangan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Lesen mendulang emas mula dikeluarkan pada 1 Januari lalu dengan kadar bayaran RM100 setahun, tanpa sebarang had bilangan permohonan dikenakan oleh kerajaan negeri.

Mohamed Fadzli berkata, sambutan yang diterima sejajar dengan jangkaan berdasarkan maklum balas awal daripada rakyat sebelum inisiatif itu diperkenalkan.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan membuka ruang kepada rakyat untuk menjana pendapatan secara sah di samping memanfaatkan hasil bumi negeri.

Beliau berkata, tidak semua rakyat berpeluang terlibat dalam industri berskala besar, justeru pendekatan itu memberi peluang kepada orang ramai untuk berusaha secara kecil-kecilan dengan sokongan dan kelulusan kerajaan negeri.