PUTRAJAYA: Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara Afrika bermula esok akan menggunakan pesawat sewaan khas Malaysia Airlines bagi memastikan perjalanan lebih menjimatkan masa dan kos serta memenuhi jadual ketat sepanjang misi berkenaan.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata keputusan menyewa pesawat khas dibuat kerana delegasi rasmi serta rombongan perniagaan yang menyertai misi itu mempunyai atur cara padat di Ethiopia, Kenya dan Afrika Selatan dari 18 hingga 24 November, tanpa sebarang ruang transit.
Menurut beliau, penggunaan pesawat sewaan turut memberi kelebihan kapasiti lebih besar untuk membawa delegasi tambahan sepanjang lawatan terbabit.
“Jika menggunakan pesawat eksekutif kerajaan, penerbangan akan mengambil kira-kira 13 jam dan jumlah tempat duduk juga sangat terhad.
“Dengan pesawat sewaan khas ini, masa perjalanan dapat dipendekkan dan kos dapat dikawal. Malah kos menyewa jauh lebih berpatutan berbanding mengoperasikan pesawat kerajaan sepenuhnya,” jelasnya pada sesi taklimat bersama media di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Beliau menambah, langkah tersebut turut memudahkan penyelarasan pergerakan delegasi kerajaan serta kumpulan perniagaan yang akan mengadakan pelbagai sesi libat urus di ketiga-tiga negara itu.
“Penyusunan jadual antara dua kumpulan delegasi dapat dibuat dengan lebih lancar dan memastikan kehadiran tepat pada setiap mesyuarat dan program yang telah diatur,” katanya.
Tunku Nashrul turut menegaskan bahawa kerajaan hanya menanggung kos delegasi rasmi, manakala perbelanjaan rombongan perniagaan akan dibayar sendiri oleh syarikat masing-masing.
“Setiap syarikat yang menyertai misi ini menanggung kos mereka sepenuhnya, manakala kerajaan hanya membiayai kos delegasi kerajaan,” ujarnya.
Anwar dijadual memulakan lawatan rasmi ke Ethiopia dari 18 hingga 20 November, sebelum berangkat ke Afrika Selatan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai Pengerusi ASEAN dari 20 hingga 23 November.
Perdana Menteri kemudiannya akan meneruskan lawatan rasmi ke Kenya pada 23 hingga 24 November, dan dijangka kembali ke tanah air pada 25 November.
Antara syarikat yang menyertai delegasi perniagaan yang disusun oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri termasuk Khazanah Nasional Bhd, Tenaga Nasional Bhd serta DRB-HICOM Bhd, bagi meneroka peluang perdagangan dan pelaburan baharu di rantau tersebut.